Pemangku Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, siasatan pihaknya mendapati van tersebut tidak dipandu oleh pemandu asal yang ditugaskan oleh maahad tersebut.

“Ada dua kenyataan kontra mengenai lesen memandu selepas pengasas maahad ini menyatakan pemandu van tersebut mempunyai lesen.

“Hasil siasatan polis mendapati semasa kejadian, van ini dipandu oleh pemandu lain dan bukannya pemandu asal yang mempunyai lesen.

“Semasa kejadian dia (pemandu asal) berada di sebelah pemandu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan pemandu van membawa pelajar Mahad Tahfiz Al Hashimi, Tualang yang terbabit dalam kemalangan maut di Kilometer 55, Jalan Kuala Krai-Kota Bharu, dekat sini semalam didapati tidak mempunyai lesen memandu.

Bagaimanapun pemandu terbabit, Muhammad Hamzi Mohammad Husham, 24, tidak mempunyai sebarang rekod saman trafik. - UTUSAN ONLINE