Ketiga-tiga lelaki berkenaan iaitu Diami Yusoff, 58, selaku ketua kumpulan; Mohd. Zalani Zulkifli, 64, dan Mohamad Fadh­li Ab. Rashid, 40, akan menunggang motosikal berkuasa enjin 150 cc melalui perjalanan sejauh 14,000 kilo­meter merentasi tujuh buah negara bagi menunaikan ibadat umrah.

Diami yang juga Presiden Chopper Garage Kelantan berkata, perjalanan 'Gi Mekoh Nga Mutor' yang akan bermula pada 3 November hadapan dijangka memakan masa selama dua bulan sebelum mereka masuk ke kota suci umat Islam itu.

“Sebelum ini kita pernah de­ngar orang ke Mekah dengan berbasikal dan motosikal kuasa besar tetapi kalau dengan 'kapcai' kami rasa belum ada lagi khususnya penunggang dari Kelantan.

“Kami mahu buktikan walaupun usia tidaklah lagi muda tetapi sebagai anak Kelantan kami mampu menempuh perjalanan yang jauh dan sukar sebagaimana susahnya orang zaman dahulu mahu ke Mekah.

“Kami juga merasakan seruan untuk ke sana sudah tiba sebab itu kami membulatkan tekad selepas mula merancang tahun lalu, hanya seorang daripada kami iaitu Mohd. Zalani pernah berpengalaman menunaikan haji,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Diami berkata, dia akan menggunakan sepenuhnya pengalaman bertahun-tahun menunggang motosikal di pelbagai lokasi di Asia Tenggara termasuk pernah menunggang ke Leh Ladakh, India, setinggi 3,500 meter dari aras laut pada 2016 yang merupakan puncak tertinggi di dunia yang boleh dilalui kenderaan.

Jelasnya, dia dan dua saha­batnya itu yang mewakili Wali 7 Bikers dan Kelantan Bikers se­ngaja memilih motosikal 'kapcai' bagi menjimatkan kos dan tidak akan membawa bersama sebarang konvoi pengiring.

“Otai dalam kumpulan kami iaitu Mohd. Zalani adalah seorang mekanik mahir dengan lebih 40 tahun pengalaman jadi kami tidak bimbang.

“Kami berharap aktiviti-aktivi­ti permotoran yang selalu kami buat dari semasa ke semasa termasuk ke Thailand dan Myanmar akan membantu persiapan dari sudut mental dan stamina.

“Kos keseluruhan sepanjang perjalanan pergi dan balik dijangka sebanyak RM120,000 dan kami sudahpun membuat serba sedikit persiapan kewangan sendiri bagi menampungnya,” katanya.

Pihaknya turut melancarkan jualan baju T untuk menampung kos tambahan luar jangka sekaligus memberi peluang kepada masyarakat khususnya peminat sukan permotoran turut mempunyai ‘saham’ dalam perjalanan tersebut.

Jelasnya, sesiapa yang berminat untuk mendapatkan baju T boleh menghubungi Mohamad Fadhli di talian 0109248605.