Video oleh ASMA HANIM MAHMOOD

Yusoff, 67, menerima hadiah wang tunai sebanyak RM5,000 dan sijil penghargaan yang disampaikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Abdullah Ya'akub dalam Majlis Anugerah Seni Budaya Negeri Kelantan 2018 di Pusat Dagangan Kelantan (KTC) di sini semalam.

Biarpun terpaksa dipapah naik ke pentas dengan jarum hospital tercucuk di lengan kerana masih menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) berikutan masalah jantung sejak kelmarin, namun itu bukan penghalang kepada Yusoff untuk hadir menerima pengiktirafan tersebut.

“Wayang kulit membawa ba­nyak kelebihan dalam hidup dan saya tidak pernah bermimpi dapat ke luar negara jika tidak kerana­nya. Saya berpeluang membuat persembahan dan demonstrasi di Indonesia, Jepun, Itali dan Afrika Selatan kerana masyarakat luar berminat kepada wayang kulit.

“Kenangan paling saya ingat adalah apabila menerima upah 30 sen seminggu ketika menjadi pemukul canang kepada Kumpulan Wayang Kulit Kedai Buloh yang membuat persembahan enam kali seminggu.

“Saya berusia 9 tahun dan upah diberikan sebaik selesai persembahan pada setiap malam Khamis. Semasa itu saya tidak lena tidur memikirkan duit poket yang banyak untuk dibawa ke sekolah,” katanya.

Yusoff berkata, dia mula mempelajari cara membuat patung wayang kulit daripada arwah Tok Dalang Omar Kedai Buloh semasa berusia 10 tahun dan turut menjadi anak didik kepada dalang hebat lain seperti Allahyarham Pak Hamzah Awang Hamat.