Video Oleh ZAAIN ZIN

Oleh sebab itu, air mata Nurulhamiza, 29, sering tumpah memikirkan kudrat diri dan suaminya yang tidak mampu mencari rezeki lebih demi membelikan pakaian baharu untuk anak-anak mereka yang masih kecil untuk digayakan pada pagi Syawal.

Hari ini, air mata wanita itu tumpah lagi. Cuma dia menangis kali ini bukan kerana sedih, sebaliknya terharu dan gembira apabila mereka sekeluarga dibawa ke pasar raya Mydin, Kubang Kerian untuk membeli-belah kelengkapan raya.

“Kali terakhir kami sekeluarga memakai baju baharu pada 1 Syawal lima tahun lalu ketika anak sulung, Muhammad Razin Harith, 7, berusia dua tahun ketika itu

“Disebabkan tiada duit, adik-adik dia yang sekarang berusia 5, 4 dan 3 tahun belum pernah melaram baju raya baharu dan hanya pakai baju terpakai diberikan orang sampailah hari ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Keluarga Nurulhamiza merupakan antara 70 golongan asnaf daripada 10 keluarga yang dibawa membeli-belah sempena Program Beli Baju Raya Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) - Kita Kongsi di sini.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh bonda saudara Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, Datuk Tengku Salwani Sultan Yahya Petra.

Yang turut hadir, Presiden Kemudi, Azran Fitri Rahim dan Pe­ngarah Jualan dan Pemasaran Hotel Grand Riverview (GRV), Raja Rusmin Raja Mahmud.

Kisah kemiskinan hidup Nurulhamiza bersama suaminya, Razali Husin, 43, dan empat anak mereka pernah mendapat liputan media baru-baru ini.

Bagi meneruskan hidup, wanita itu terpaksa membawa tiga anaknya yang masih kecil meredah semak di sekitar rumah semata-mata mahu mencari pucuk paku bagi membantu suami yang hanya bekerja sebagai buruh.

Sementara itu, Azran Fitri berkata, seramai 70 asnaf daripada 10 keluarga terpilih menerima sumbangan baju, barangan keperluan asas dan wang tunai dengan nilai keseluruhan sumbangan sebanyak RM12,000.

“Program Kita Kongsi diadakan bermula minggu pertama hingga akhir Ramadan ini adalah anjuran Kemudi dengan kerjasama Kelantan Creative TV (KCTV) dan Hotel GRV.

“Alhamdulillah, pada hari ini kita masih menerima derma orang ramai termasuk kakitangan RHB Bank Kota Bharu yang murah hati menyerahkan sumbangan mereka demi menjayakan program ini,” katanya.

“Insya-Allah, program Kita Kongsi ini akan diteruskan lagi pada bulan biasa selain pada bulan Ramadan,” katanya.