Ibu kepada empat anak, Wee Sock Yam, 53, yang baru sahaja serius berkarya pertengahan tahun lalu, bersyukur kerana sehingga kini lebih 100 sajak, puisi dan cerpen nukilannya sudah diterbitkan sama ada di dada akhbar dan majalah termasuk jugalah dalam 17 buah antologi yang dipasarkan di Malaysia dan Indonesia.

Wanita berketurunan Cina Peranakan berkelulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang dilahirkan di Jelawat, Bachok dan menggunakan nama pena Sujata Wee ini berkata, dia meminati tema cinta dan romantis.

“Semasa saya berada di tingkatan dua Sekolah Menengah (SM) Bachok, cerpen saya pernah ‘dibangkulsampahkan’ badan redaksi majalah sekolah kerana tidak menepati kualiti.

“Sejak itu saya tidak berani lagi untuk menghasilkan apa-apa karya kerana menyedari mungkin saya tidak berbakat, namun dalam usia senja ini cubaan saya menulis sajak dan pantun secara suka-suka dalam Facebook mendapat perhatian kawan-kawan yang menyuruh saya menghantarnya ke mana-mana penerbitan,”katanya ketika ditemui Utusan Online di sini hari ini.

Menurutnya, cubaan pertamanya menghantar karya adalah kepada akhbar Mingguan Malaysia dan dia sungguh teruja apabila dalam tempoh empat hari sahaja sajaknya bertajuk ‘Salam Merdeka’ keluar di dada akhbar ini tahun lalu.

WEE SOCK YAM atau nama penanya, Sujata Wee menunjukkan sebahagian antologi puisi yang memuatkan kary
 

“Saya masih ingat lagi tarikh keluarannya iaitu 13 Ogos 2017, inilah yang memberi suntikan semangat yang sangat besar untuk saya terus menulis,” katanya.

Sujata berkata, dia menggunakan sepenuhnya kemudahan media sosial untuk bersahabat dan berguru dengan ramai karyawan termasuklah sasterawan tersohor Lim Swee Tin bagi mendalami penggunaan bahasa dan perkataan yang baik.

Sementara itu, pencapaian Sujata turut mempengaruhi rakannya, Wee Soo Lian, 61, seorang pesara penyelia jururawat yang kini mula berjinak-jinak untuk menceburi bidang penulisan.

“Saya tidak fikir umur satu penghalang, inilah masanya saya mendalami minat yang saya pendam setelah dahulu sibuk dengan kerjaya dan menguruskan keluarga,” katanya. - UTUSAN ONLINE