Dalam satu majlis ringkas yang diadakan di sekolah itu pagi ini, murid-murid dari Tahun Satu hingga Tahun Enam itu kelihatan cukup berselera dijamu dengan nasi berlauk ayam dan buah epal segar sebagai pencuci mulut.

Guru Besar, Rosliza Ahmad berkata, sebahagian besar daripada 557 murid sekolah tersebut terdiri daripada keluarga susah, justeru pihaknya amat mengalu-alukan sumbangan dan bantuan semua pihak.

“Saya dihubungi pihak ‘Volunteer i Care’ minggu lalu yang menyatakan hasrat untuk membantu dan saya terus bersetuju kerana sedar ramai murid kami dari kalangan keluarga miskin walaupun tinggal dalam bandar.

“Malah berdasarkan rekod sebanyak 451 daripada 557 murid kami layak menerima bantuan awal persekolahan sebanyak RM100 seorang.

“Kami juga mempunyai kadar ketidakhadiran yang tinggi kerana ramai murid tidak bermotivasi datang ke sekolah disebabkan tidak mempunyai wang saku atau bekalan yang cukup,” katanya ketika ditemui di sekolah itu sini hari ini.

Seramai lapan sukarelawan ‘Volunteer i Care’ diketuai Pengerusi, Muhammad Afiq Aiman Sukri dan Bendahari, Saripah Ismail hadir mengagihkan bekalan sarapan dan cenderahati hasil daripada sumbangan orang ramai.

Sementara itu, Rosliza berkata, mana-mana pihak terutama bekas murid yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi pihak sekolah di talian 09-7481949. - UTUSAN ONLINE

Video oleh ASMA HANIM MAHMOOD