Ketua Jabatan berkenaan, Dr. Mohd. Ariff Mohd. Noor berkata, majlis solat hajat dan penyerahan kunci rumah bernilai RM8,000 diserahkan kepada pesakit Abdullah Mat Hussin, 56, bagi membolehkan dia menginap di rumah yang lebih selesa.

Menurutnya, kumpulan paramedik terbabit diketuai Nor Azmi Abdullah mengorbankan cuti hujung minggu mereka untuk bertukang dan menyiapkan rumah berkenaan sejak awal Februari tahun ini.

“Ini adalah rumah kedua yang dibina sendiri oleh paramedik terbabit. Rumah pertama diserahkan kepada pesakit mental di Kampung Gong Manak, Pasir Puteh, tahun lepas.

“Program secara sukarela oleh paramedik psikiatri HRPZII membela kebajikan pesakitnya pertama kali dibuat di negara ini terutama kepada pesakit yang menerima rawatan dalam komuniti,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dr. Mohd. Ariff berkata, pendekatan itu adalah sebahagian daripada terapi rawatan yang berupaya mengurangkan bebanan fikiran pesakit mental selain mencegah mereka merayau ke kawasan lain.

“Ia pastinya memberi kegembiraan kepada Abdullah yang 20 tahun mengalami penyakit Skizofrenia dan tidak berkeluarga untuk menyambut kehadiran Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi.

“Skizofrenia melibatkan kecelaruan fikiran, tingkah laku dan gangguan halusinasi. Dia kini dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan dalam komuniti,” katanya.

Dr. Mohd. Ariff berkata, masyarakat perlu membantu memberi sokongan moral dan tidak menyisihkan pesakit mental untuk mengurangkan tekanan hidup yang membebankan mereka termasuk kepalsuan imiginasi yang tidak nyata.

Setakat ini, katanya, jabatan itu menyediakan 136 katil pesakit untuk mereka yang dikategorikan kronik yang perlu dirawat dalam jangka masa yang panjang.

“Jumlah pesakit yang diwadkan berjaya dikurangkan dengan pendekatan rawatan dalam komuniti di mana paramedik memberi perkhidmatan secara terus di rumah pesakit,” katanya. - UTUSAN ONLINE