mangsa
REMAJA perempuan yang dilaporkan hilang dari rumahnya di Kampung Hujung Repek, Bachok, Kelantan, sejak empat bulan lepas. - UTUSAN ONLINE 

Bapa remaja itu, Mohd. Samuddin Mat Salleh, 49, berkata anak sulung daripada dua beradik itu ada menghubunginya pada 25 Julai lalu dan menyatakan hasrat kembali semula ke pangkuan keluarga.

Menurutnya, nombor panggilan yang diterimanya adalah kod panggilan luar negara iaitu Thailand dan mereka hanya sempat bercakap dalam tempoh kira-kira seminit sahaja.

“Dia bercakap dalam keadaan gementar dan ketakutan serta gagal menyatakan lokasi sebenar tempat tinggal bersama lelaki itu.

“Saya cuba menghubunginya kembali namun gagal kerana mungkin telefon itu ditutup selepas mengetahui anak saya menghubungi keluarga,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Hujung Repek, di sini hari ini.

Mohd. Samuddin yang juga seorang guru berkata, anaknya hilang dari rumah ketika dia dan isterinya, Sahima Deraman, 36, keluar bekerja pada 26 April lalu dengan sehelai sepinggang tanpa membawa dokumen pengenalan diri terutama kad pengenalan.

Katanya, anaknya itu sepatutnya mendaftar sebagai pelajar baharu di Kolej Vokasional Bachok sehari selepas itu.

“Anak saya masih di bawah umur memerlukan pertolongan semua pihak untuk membolehkannya kembalikan ke pangkuan kami. Saya sudah membuat banyak aduan polis namun sehingga kini mereka gagal dikesan.

“Saya yakin kedua-duanya masih berada di selatan Thailand berdasarkan maklumat latar belakang keluarga suspek yang mempunyai saudara mara di wilayah berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, siasatan berhubung kes berkenaan masih diteruskan namun sehingga kini saspek yang kenali masih gagal dikesan.

Orang ramai mempunyai maklumat berkaitan kes ini boleh menghubungi pihak berkuasa di talian 09-7788222 atau menghubungi Inspektor Nazri Mohamad di talian 016555576.- UTUSAN ONLINE