Video Oleh ZAAIN ZIN

Air mata Nurulhamiza, 29, sentiasa tumpah memikirkan kudrat diri dan suaminya yang tidak mampu mencari rezeki lebih demi membelikan pakaian baharu untuk anak-anak mereka yang masih kecil.

Hari ini, air mata wanita itu tumpah lagi. Cuma kali ini dia menangis bukan kerana sedih, sebaliknya terharu dan gembira apabila mereka sekeluarga berpeluang menjejakkan kaki di pasar raya Mydin, Kubang Kerian untuk membeli belah kelengkapan raya.

“Kali terakhir kami sekeluarga memakai baju baharu pada 1 Syawal lima tahun lalu ketika anak sulung, Muhammad Razin Harith, 7, berusia dua tahun ketika itu

”Disebabkan tiada duit, adik-adik dia yang sekarang berusia 5, 4 dan 3 tahun belum pernah merasa melaram baju raya baharu dan hanya pakai baju terpakai diberi orang,” kata wanita itu.

Keluarga Nurulhamiza merupakan antara 70 golongan asnaf daripada 10 keluarga yang dibawa membeli-belah sempena Program Beli Bayu Raya Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) - Kita Kongsi, di sini hari ini.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh bonda saudara Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, Datuk Tengku Salwani Sultan Yahya Petra.

Yang turut hadir, Presiden Kemudi, Azran Fitri Rahim serta Pengarah Jualan dan Pemasaran Hotel Grand Riverview (GRV), Raja Rusmin Raja Mahmud.

Kisah kemiskinan hidup Nurulhamiza bersama suaminya, Razali Husin, 43, dan empat anak mereka sebelum ini pernah mendapat liputan media baru-baru ini.

Bagi meneruskan hidup, wanita itu terpaksa membawa tiga anaknya yang masih kecil meredah semak di sekitar rumah semata-mata mahu mencari pucuk paku bagi membantu suami yang hanya bekerja sebagai buruh.

Sementara itu, Azran Fitri berkata, seramai 70 asnaf daripada 10 keluarga terpilih menerima sumbangan baju, barangan keperluan asas dan wang tunai dengan nilai keseluruhan sumbangan sebanyak RM12,000. 

“Program Kita Kongsi diadakan bermula minggu pertama hingga akhir Ramadan ini adalah anjuran Kemudi dengan kerjasama Kelantan Creative TV (KCTV) dan Hotel GRV.

“Alhamdulillah, pada hari ini kita masih menerima derma orang ramai termasuk kakitangan RHB Bank Kota Bharu yang murah hati menyerahkan sumbangan mereka demi menjayakan program ini. 

“Insya-Allah, program Jelajah Kita Kongsi ini akan diteruskan lagi pada bulan biasa selain di bulan Ramadan,” katanya. - UTUSAN ONLINE