Penyusutan air Sungai Golok itu disebabkan oleh cuaca panas dan kering yang sedang melanda Kelantan ketika ini.

Mengikut laporan portal infobanjir.water.gov.my paras air Sungai Golok ketika ini berada pada tahap 3.37 meter berbanding normal iaitu 5 meter.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kawasan pangkalan haram Pasir menjadi ‘tapak pesta’ seolah-olah taman teman terbuka ekoran penyusutan paras air sungai apabila penduduk mengambil kesempatan untuk mandi-manda.

KANAK-kanak tidak melepaskan peluang mandi-manda di Sungai Golok
KANAK-kanak tidak melepaskan peluang mandi-manda di Sungai Golok 

Seorang penduduk Ibrahim Lah, 45, berkata, penyusutan paras air Sungai Golok sejak beberapa minggu lalu membuatkan orang ramai berada dalam keadaan siap sedia untuk berpesta.

Menurutnya, kawasan pangkalan haram Pasir mula menjadi tumpuan orang ramai sejak Rabu lalu selepas paras air Sungai Golok makin surut.

“Namun bilangan orang ramai makin bertambah masuk sahaja cuti hujung minggu.

“Saya jangka bilangan pengunjung akan bertambah masuk sahaja musim cuti sekolah yang bakal bermula minggu depan,” katanya.

Ibrahim memberitahu, bukan sahaja penduduk tempatan, rakyat Thailand turut mengambil kesempatan ‘berpesta’ di kawasan berkenaan.

Katanya, pesta ini dapat dilihat setiap kali musim kemarau apabila air Sungai Golok mulai kering.

Utusan Malaysia 4 Mac lalu melaporkan, paras air Sungai Golok dilihat mulai kering kesan fenomena cuaca panas dan kering yang sedang melanda Kelantan ketika ini.

Beting pasir mulai kelihatan di beberapa kawasan di sepanjang Sungai Golok bermula dari Pekan Rantau Panjang sehingga ke Bukit Lata dekat sini. - UTUSAN ONLINE