Mereka berbuat demikian kerana kecewa apabila syarikat yang menjalankan operasi mendalamkan kuala Sungai Kelantan tersebut bukan sahaja menduduki kawasan itu, malah mengambil alih sebahagian besar tapak letak kereta yang juga merupakan ‘pintu’ masuk utama penduduk yang tinggal di pulau.

Difahamkan, hampir dua pertiga daripada tanah lapang yang seluas kira-kira satu hektar itu telah ‘dirampas’ setakat ini bagi tujuan penyimpanan pasir yang dikorek serta penempatan pekerja syarikat terbabit.

Mereka membina pagar dan tidak membenarkan penduduk memasukinya.

 

Video oleh Ghazali Basri

Wakil penduduk, Che Othman Che Ibrahim berkata, jumlah penduduk di 12 kampung di pulau-pulau kecil itu kini mencecah 4,000 orang dan ketiadaan jalan darat menyebabkan mereka terpaksa meninggalkan kenderaan di tapak parkir sebelum menaiki bot untuk ke rumah masing-masing.

Katanya, ruang tempat letak kereta terhad merupakan isu yang dihadapi penduduk sejak sekian lama namun mereka bersyukur apabila kerajaan negeri memberi kebenaran menggunakan tanah lapang tersebut sebagai tapak parkir kenderaan.

Kawasan itu juga tambah Che Othman, digunakan sebagai tapak pasar malam pada setiap hari Jumaat, di samping menjadi jeti utama untuk orang ramai dan pelancong yang mahu ke pasar terapung di Pulau Suri pada setiap hari Sabtu.

“Pihak kerajaan negeri sudah berkali-kali memberi jaminan tidak akan ambil tanah lapang itu kerana prihatin dengan kebajikan penduduk. Satu sempadan telah ditetapkan bagi memelihara keluasan tapak parkir ini.

“Namun pada 5 Mei lalu, kami terkejut apabila pekerja syarikat swasta itu masuk dan merobohkan bangsal kereta dibina penduduk sambil menetapkan sempadan baharu dengan alasan mereka telah diberikan kebenaran oleh kerajaan negeri,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Raffee Mamat, 50, memberitahu, kira-kira 200 kereta milik penduduk pulau diletakkan di kawasan itu pada setiap hari, dan jumlah itu bertambah mendadak sehingga tiga kali ganda setiap kali musim perayaan dan cuti sekolah.

“Sekarang hanya satu pertiga daripada tapak letak kereta yang masih tinggal. Bagaimana kami nak menghadapi situasi sesak dan berebut-rebut, lebih-lebih lagi Hari Raya Aidilfitri bakal tiba dan ahli keluarga kami akan pulang beramai-ramai ke kampung,” katanya.

Nik Nazmi Nik Md. Adib, 38, pula berkata, sebelum ini wakil kerajaan negeri mencadangkan penduduk menjadikan kawasan lapang di Teluk Pantai Kundur sebagai lokasi tempat letak kereta yang baharu namun mereka menolak cadangan itu.

“Bukan sahaja jarak perjalanan menjadi jauh, tetapi risiko bahaya kepada penduduk kerana terdedah dengan Laut China Selatan yang bergelora. Harus diingat kami melalui jalan air ini setiap hari untuk pelbagai urusan seperti ke sekolah dan tempat kerja. Bukan sekali-sekala.

“Untuk makluman, kampung-kampung di delta Kelantan ini tidak mempunyai tanah perkuburan dan jika berlaku kematian, urusan pengkebumian jenazah terpaksa dilakukan di tanah besar. Begitu juga dengan kejadian kecemasan seperti cedera atau wanita mahu bersalin. Faktor itu perlu diambil kira,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr. Izani Hussin ketika dihubungi mengakui tanah tersebut telah dipajakkan kepada syarikat swasta dan pihaknya sedang mencari penyelesaian terbaik bagi membantu penduduk.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang berkata, pihaknya sedang mengadakan rundingan dengan Pejabat Tanah Jajahan bagi menyelesaikan masalah parkir penduduk termasuk menyediakan tapak baharu menggantikan tapak lama yang diambil alih. - UTUSAN ONLINE