Video oleh ASMA HANIM MAHMOOD

Timbalan Ketua Pengarah FAMA (Pembangunan), Mansor Omar berkata, bekalan bahan mentah di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dan pasar tani seluruh negara bukan sahaja mencukupi bahkan dijual dengan harga berpatutan.

Beliau berkata, pihak FAMA sudah membuat perbincangan dengan pembekal yang memberi jaminan akan meningkatkan bekalan seperti ikan, daging dan ayam segar sehingga tiga kali ganda selain mempunyai simpanan sejuk beku sebagai pilihan untuk pengguna.

“Kita jamin harga adalah berpatutan jadi masyarakat tidak perlu bimbang, datang sahaja ke RTC untuk mendapatkan bahan mentah segar seperti biasa dan belilah mengikut keperluan.

“Antara inisiatif kita memastikan bekalan mencukupi adalah meminta kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) agar tidak menyekat lori yang membawa bekalan bahan mentah ke pasar utama,” katanya selepas melancarkan Jualan Jimat Belanja Aidilfitri @ Pasar Tani Kekal RTC Kelantan dan Bazar Industri Asas Tani (IAT), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah FAMA negeri, Mohd. Ariffin Awang.

Menurut Mansor, jualan khas bermula dari Jumaat lalu sehingga Khamis ini yang melibatkan 724 pasar tani seluruh negara menawarkan potongan sehingga lebih 30 peratus bagi memberi peluang kepada pengguna mendapatkan bekalan keperluan termasuk kuih dan biskut raya.

Sementara itu, Mohd. Ariffin pula berkata, bilangan pengunjung ke RTC Kelantan meningkat sekali ganda daripada 10,000 orang pada hari biasa kepada 20,000 orang sehari pada minggu terakhir Ramadan.

Beliau berkata, RTC Kelantan menduduki tangga teratas dari 11 RTC seluruh negara apabila menarik bilangan pengunjung teramai dan jumlah jualan tertinggi selama empat tahun berturut-turut bermula 2014.