Setiausaha MPKB-BRI, Hazmi Abdul Hamid berkata, promosi itu sebagai usaha sama pihaknya dengan Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan (Mala) bagi menggalakkan orang ramai bersukan dan mengamalkan gaya hidup sihat. 


“Saya bagi pihak MPKB-BRI mengucapkan terima kasih kepada Mala dan wakil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Pulau Pinang sebab sudi melawat negeri ini bagi mempromosikan sukan APMG.


“Kita juga mengambil peluang sempena tahun ini yang merupakan Tahun Melawat Kota Bharu,” katanya di sini hari ini. 


Beliau berkata demikian selepas menyambut ketibaan konvoi larian obor sukan APMG di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Tunjong, di sini hari ini. 


Yang turut hadir ialah Setiausaha Majlis Daerah Pasir Mas, Mohd. Zaidi Mat Jusoh dan Pengarah Pesuruhjaya Bangunan Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Nik Ariff Long Dir. 


Seramai 20 orang menyertai larian obor bermula dari Masjid Beijing, Rantau Panjang sehingga RTC Tunjong di sini. 


APMG merupakan sukan asia pasifik pertama kali dianjurkan di negara ini dan Pulau Pinang merupakan hos program berkenaan melibatkan pelbagai jenis sukan -UTUSAN ONLINE