Timbalan Yang Dipertua MAIK, Dr. Nik Mohd. Azlan Abdul Hadi berkata, peruntukan itu melibatkan peralatan komputer bagi pembangunan Teknologi Maklumat (ICT), Sistem Asas Multimedia dan pemasangan kamera litar tertutup bagi keselamatan masjid.

Beliau bagaimanapun berkata, sumbangan peralatan yang disalurkan adalah berdasarkan permohonan yang dibuat oleh pengurusan masjid.

“Kecemerlangan sesebuah masjid bergantung sepenuhnya kepada perancangan bijak, kesepakatan serta ukhuwah antara Imam, Ahli Jawatankuasa masjid dan anak mukim merencanakan aktiviti secara kreatif dan aktif.

“Fungsi masjid perlu merentasi arus modenisasi sezaman dan bukan sekadar tempat untuk beribadat. Masjid perlu berjaya menjadi pusat pendidikan dan institusi ummah yang aktif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis penyerahan peralatan ICT MAIK kepada Masjid al-Abrar Pauh Sembilan, dekat sini, petang semalam.

Mohd. Azlan berkata, pengurusan masjid perlu merentasi keperluan semasa termasuk meningkatkan fungsinya melahirkan cendikiawan Islam dalam kalangan penduduk setempat.

Menurutnya, setakat ini lebih 30 masjid di negeri ini dibangunkan dengan kemudahan ICT yang memberi kemudahan kepada aktivis setempat berdakwah menggunakan gajet dan peralatan komunikasi moden.

“MAIK juga turut menyediakan peruntukan sebanyak RM120, 000 setiap tahun bagi pelaksanaan program ‘English At The Mosque’ bagi membantu pelajar menguasai bahasa Inggeris.

“Program mempelajari bahasa Inggeris akan ditingkatkan pada masa akan datang dan MAIK akan memikirkan pendekatan agar bahasa Cina, Tamil dan lain-lain turut dipelajari dalam konteks kepentingan untuk menyebarkan dakwah dalam skop yang global,” katanya. - UTUSAN ONLINE