Program kepemimpinan tersebut disertai oleh 120 murid sekolah rendah itu dan 117 pelajar tingkatan empat sekolah berasrama penuh (SBP) berkenaan.

Pengetua SMS Pasir Puteh, Roslina Abdul Aziz berkata, kolaborasi antara dua buah sekolah itu lebih berfokus kepada pembangunan akademik dan penampilan diri sebagai pemimpin yang berkalibar.

"Kursus Kepemimpinan Ketua Rumah dan Penolong Ketua Rumah (Kesuma) merupakan satu usaha untuk memberi pendedahan tentang pelaksanaan Sistem Rumah di SBP.

"Dalam usaha memastikan pelaksanaan sistem ini berkesan, pelajar yang mengetuai sistem ini perlu terdiri daripada mereka yang mempunyai ciri- ciri kepemimpinan yang cemerlang dan berwibawa.

"Kursus ini dirancang untuk mengisi ruang ilmu kepemimpinan kepada mereka yang telah diberi amanah sebagai Ketua Rumah dan Penolong Ketua Rumah agar tampil sebagai pemimpin yang terbilang bagi generasi akan datang," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Program berkenaan dirasmikan oleh Penolong Pegawai Pendidikan Daerah, (Pengurusan Kurikukulum) Rosidi Ramli.

Roslina berkata, persefahaman dan kerjasama di antara kedua-dua pengurusan sekolah membuka ruang kepada murid untuk beraktiviti selain menjalinkan kerjasama yang berteraskan pembangunan pendidikan pada masa akan datang.

Sementara itu, Guru Besar SK Cherang Ruku, Faxrurazi Nasir berkata, kerjasama itu menyerlahkan keupayaan kepemimpinan pelajar SMS Pasir Puteh mengendalikan murid di sekolah rendah dalam persekitaran kampung.

"Impak yang positif tercapai kerana objektif kembangkan bakat terserlah. Kakak sekolah menengah menjadi guru muda mendidik adik-adik di sekolah rendah," katanya. - UTUSAN ONLINE