Video ihsan Guru Besar SK Balar, MUHAMMAD NAPI MOHAMED

Perjalanan yang ekstrem se­panjang 100 kilometer dari ban­dar Gusa Musang itu menuntut kesemua pendidik tersebut be­kerjasama memastikan motosikal yang mereka tunggang selamat sampai ke sekolah itu.

Mereka terpaksa mengharungi beberapa batang anak sungai dan kadang-kala terpaksa berhenti rehat disebabkan motosikal tersangkut dalam selut atau pun rosak.

Guru Besar SK Balar, Muhammad Napi Mohamed berkata, jika cuaca kering, perjalanan untuk ke sekolah tersebut hanya mengambil masa empat jam namun dalam keadaan sekarang perjalanan bertambah lebih dua kali ganda sehingga 10 jam.

Katanya, kesemua guru tersebut tinggal di kuarters di Pos Balar dan semangat mereka untuk mendidik seramai 260 anak-anak Orang Asli pada sesi persekolahan kali ini tidak pernah luntur.

“Setiap awal tahun sesi persekolahan kita berdepan lebih cabaran kerana jalan bukan sekadar berlumpur, malah lebih teruk lagi berlaku kejadian bukit dan jambatan runtuh kesan daripada cuaca hujan.

“Ketika cuaca hujan kami terpaksa menempuh hampir 10 jam perjalanan kerana terkandas akibat jalan terhalang,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, guru Bahasa Inggeris, Md. Faizul Abdullah @ Yunus, 41, bersama pasangannya Asmawati Ahmad, 38, yang baharu berpindah ke SK Balar pertama kali berdepan pengalaman yang mengujakan.

Beliau yang lebih lima tahun bertugas sebagai guru berkata, pada minggu lepas mereka bersama seorang anak perempuan berusia lapan tahun terpaksa bermalam di dalam hutan selepas kenderaan pacuan empat rodanya terkandas di dalam hutan.

“Kami sebelum ini bertugas di SK Ladang Dublin, Karangan, Kedah dan isteri juga secara sukarela mahu bertugas di kawasan pedalaman Pos Balar.

“Pengalaman terkandas di da­lam hutan ketika mahu masuk mengajar anak Orang Asli akan menjadi pembakar semangat ka­mi untuk mendidik murid Orang Asli yang jauh terpinggir dari ban­dar,” katanya.