Tok Batin Pos Bihai, Awin Pedik berkata, beliau dan tok batin lain merupakan pemimpin sebenar mewakili masyarakat Orang Asli dan mereka sepakat membantah tindakan agresif kumpulan tertentu membuat sekatan jalan di Pos Tohoi, Pos Bihai serta Pos Pasik.

Tegas beliau, sekatan jalan oleh kumpulan itu yang didalangi Jaringan tidak membantu menyelesaikan isu tanah, sebaliknya menjejaskan usaha rundingan sedia ada dengan kerajaan negeri di samping mengganggu ketenteraman awam dan ekonomi penduduk Orang Asli sendiri.

“Sekatan ini dibuat oleh sebilangan kecil orang muda yang panas baran selepas terpengaruh dengan hasutan Jaringan serta pihak luar. Saya ingin tegaskan, pendirian mereka tidak mewakili masyarakat serta barisan pemimpin sah Orang Asli di Gua Musang.

“Kami kumpulan yang cintakan kedamaian tidak mungkin akan ambil tindakan agresif seumpama itu yang tidak memberi manfaat, sebaliknya menyusahkan semua pihak. Kami memilih menyelesaikan apa sahaja isu melalui rundingan,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.

Terdahulu, Awin Pedik bersama sembilan Tok Batin yang membentuk Gabungan Orang Asal Gua Musang (Gabungan) bertemu Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob di Pasir Pekan, di sini hari ini.

Baru-baru ini, seramai 220 Orang Asli dari Gua Musang bertemu dan mengemukakan aduan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir di Putrajaya berkaitan pencerobohan tanah mereka oleh syarikat perladangan dan pembalakan.

Sementara itu, Awin berkata, mereka bertemu dengan Ahmad bagi menjelaskan keadaan sebenar kerana khuatir tindak-tanduk Jaringan memburuk-burukkan kerajaan Pas Kelantan bakal mengeruhkan hubungan kedua-dua belah pihak.

Selain itu katanya, Gabungan turut menyampaikan memorandum tuntutan Orang Asli berkaitan kawasan rayau atau dikenali sebagai tanah ‘saka’ untuk digazetkan oleh kerajaan negeri kepada Ahmad.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, beliau akan meneliti kandungan memorandum sebelum membuat tindakan susulan di samping mengalu-alukan kesediaan Gabungan bertemu dan mengadakan rundingan dengan pihaknya.

“Pada 20 Ogos ini satu mesyuarat Jawatankuasa Kecil Perhutanan Negeri dijadual berlangsung dan antara yang akan dibincangkan ialah kemungkinan untuk kita mengambil tindakan undang-undang terhadap Jaringan,” katanya. - UTUSAN ONLINE