Video Oleh ASMA HANIM MAHMOOD

Sedar keadaan sebelah tangan yang hilang fungsi akibat kecuaian doktor yang menyambutnya ketika lahir, Muhammad Adnan dari Kampung Tikat di sini memendam hasratnya kerana tahu ia sesuatu yang mustahil.

Namun keadaan itu berubah apabila matanya tertancap kepada aktiviti kelab sukan tomoi yang dikendalikan seorang pesara tentera, Muhammad Mat Yasim, 46, atau gelarannya ‘Ayah Mat' yang gigih melatih pelatih tomoi terutama remaja di gelanggang berhampiran kampungnya.

“Selama berbulan-bulan saya tidak melepaskan peluang datang melihat ‘Ayah Mad' buat latihan sama ada waktu petang atau malam di gelanggang latihannya di Badang di sini.

“Saya suka dengan gerakan tomoi yang tangkas dan berseni tetapi saya tidak berani beritahu niat mahu jadi pelatih kerana malu dengan keadaan tangan kanan yang lembik dari bahagian bahu ke bawah di samping bimbang tidak mampu bayar yuran.

“Sehinggalah satu hari Ayah Mat sendiri yang menyapa dan bertanya adakah saya minat tomoi dan menyatakan saya boleh belajar secara percuma,” katanya ketika ditemui di majlis pra-tamat latihan 33 pelatih di Gelanggang Kelab Tomoi Bamboo Sri Kundor di Kampung Pulau Kundor di sini hari ini.

Muhammad Adnan mula berlatih tomoi sejak Disember tahun lalu dan kini merupakan antara bintang yang bersinar malah diberi gelaran 'Dnan Jaka' oleh jurulatihnya yang bermaksud pah­lawan berbisa dan sering dibawa melakukan persembahan pertunjukan ke beberapa tempat dalam negeri.

Remaja ini berkata, pada mulanya, ibu bapanya menghalang kerana bimbangkan keadaannya namun akhirnya mereka juga menyokong apabila menyaksikan aksinya ketika tamat latihan asas pada Mac lalu.

“Saya belajar cara imbangkan diri supaya dapat bertahan semasa bertarung tetapi regu lawan biasanya tahu keadaan tangan saya jadi mereka menumpukan serangan ke bahagian lain,” katanya.

Pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penambang itu membe­ritahu, dia berlari lima kilometer hampir setiap hari untuk memastikan stamina badan sentiasa berada pada keadaan terbaik.

Sementara itu, jurulatihnya, Muhammad yang juga Naib Timbalan Presiden Persatuan Tomoi negeri merangkap Pengerusi Kelab Tomoi Bamboo PCB berkata, beliau telah melatih lebih 300 pelatih tomoi daripada pelbagai peringkat usia sejak 2015 lagi.

Katanya, sebagai pesara tentera yang pernah terlibat dalam sukan tinju, beliau menubuhkan kelab itu bagi membantu memastikan remaja tidak terbabit dalam gejala tidak sihat.

“Syarat paling utama saya te­tapkan adalah pelatih tidak boleh menghisap rokok dan mesti berpakaian menutup aurat. Saya terapkan dalam minda mereka bahawa jika kita hebat macam mana pun semua itu adalah daripada Allah,” katanya.