Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil berkata, sehingga kini kegiatan menangkap ikan masih beroperasi dalam kalangan bot laut dalam walaupun musim tengkujuh sudah bermula.

Menurutnya, di Pelabuhan Tok Bali sahaja simpanan ikan sudah berjumlah 160 tan metrik tidak termasuk ikan proses sejuk beku yang diusahakan oleh Persatuan Nelayan Kebangsaan (Peneka) sebanyak 25 tan metrik.

“Bekalan hasil laut lebih daripada mencukupi kerana beberapa pusat simpanan di Kuala Besut dan Cendering, Kuala Kedah dan Kuantan juga membekalkan jumlah yang mencukupi,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pelabuhan LKIM Tok Bali, di sini, petang ini.

Terdahulu, beliau meninjau beberapa lokasi pendaratan ikan di Tumpat bagi mendapat maklum balas projek pembangunan yang terbengkalai selain mengadakan dialog bersama nelayan setempat.

Beliau dalam pada itu berkata, harga ikan sepanjang musim tengkujuh adalah terkawal dan pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna agar peniaga tidak mengambil keuntungan lebih sepanjang musim itu.

“Mengapa perlu dinaikkan harga ikan kerana bekalan sedia ada adalah lebih dari mencukupi walaupun tiada nelayan beroperasi sepanjang bulan Disember ini.

“Kita menggalakkan pengguna membeli ikan sejuk beku Peneka yang bekerjasama dengan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) dengan harga yang lebih murah dan berpatutan.

“Ikan yang diproses sejuk beku itu adalah ikan kembung dan pelaling terjamin kualitinya menerusi proses yang berteknologi tinggi mengekalkan kesegarannya,” katanya. - UTUSAN ONLINE