Pegawai APM daerah, Kapten Nik Mohd. Noor Nik Mat berkata, pantai tersebut telah meragut sebanyak 10 nyawa sejak setahun lalu kerana keadaan pantainya yang curam serta ombaknya yang sentiasa berubah.

“Pemantauan pasukan penyelamat pantai akan beroperasi pada hujung minggu dan cuti umum bukan hanya membantu kerja-kerja menyelamat mangsa lemas tetapi melarang individu berenang di kawasan berisiko terutama ketika ombak besar.

“Pemantauan dalam tempoh 24 jam juga dijalankan ketika air pasang besar dengan tindakan tegas melarang sebarang aktiviti pantai dilakukan.

“Kawasan yang berisiko akan dipasang dengan bendera amaran berwarna merah dan kuning sebagai petanda amaran persekitaran laut itu berisiko kepada pengunjung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program latihan menyelamat pantai yang melibatkan 70 anggota APM, berhampiran menara Pusat Penyelamat Pantai Tok Bali, dekat sini, hari ini.

Kesemua anggota terbabit diberi latihan khusus sebagai penyelamat pantai di bawah 10 jurulatih bertauliah.

Nik Mohd. Nor berkata, kawasan berisiko akan dilebarkan sepanjang bulan Oktober dan diwartakan sebagai pantai berbahaya sepanjang musim tengkujuh atau ketika air pasang besar terutama pada musim monsun Timur Laut.

Bagi menghadapi musim banjir tahun ini, beliau berkata, anggotanya telah bersedia berkhidmat di Pusat Kawasan Operasi Bencana dan lokasi pemempatan mangsa dengan membekalkan anggota yang mahir dalam pelbagai bidang.

“Seramai 100 anggota APM telah disenaraikan untuk bersama agensi penyelamat yang lain sepanjang musim banjir penghujung tahun ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE