Pengerusi Persatuan Serama Kelantan, Wong San Meng berkata, pertandingan anjuran daripada Persatuan Serama Kelantan ini julung kali diadakan dan mendapat kerjasama G-Orange dan Value Mart.

“Antara yang dipertandingkan ialah kategori ayam serama anak A; serama anak B; serama remaja; serama muda; serama A; serama B; serama tanpa lawi dan serama betina,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, kehebatan dan keunikan yang dimiliki oleh ayam serama yang diberi nama ‘Dewata’ membawa tuah kepada pemiliknya apabila dinobatkan sebagai juara antara juara dalam pertandingan itu.

Pemilik ayam, Tan Boon Hin, 36, yang berasal daripada Kota Bharu berkata, keistimewaan Dewata ialah memiliki tubuh badan yang lentik, ekor dan sayap yang menarik serta bulu yang cantik.

“Saya telah melihat kelebihan yang dimiliki dewata dari mula lagi dan ia merupakan ayam serama yang paling disayangi.

“Saya berjaya merangkul dua kategori hari ini iaitu juara muda dan juara antara juara. Saya pernah menerima tawaran daripada seseorang untuk membeli Dewata dengan harga RM7,000 namun saya enggan menjualnya,” katanya. - UTUSAN ONLINE