Pengunjung terpaksa menahan panas berada dalam kedai milik Allahyarham Sapie Jusoh atau lebih dikenali dengan nama Pak Sapie yang merupakan pakar pembuat wau handalan malah diiktiraf sebagai Adiguru Kraf oleh pihak Kraftangan Malaysia sebagai pengiktirafan kerajaan atas kemahiran tinggi arwah.

Namun sesuatu yang janggal apabila kedai yang dijenama semula beberapa tahun lalu dengan gelaran ‘Galeri Wau Pak Sapie’ oleh sebuah agensi kerajaan itu dibiarkan tanpa kemudahan asas meskipun ia dimasukkan dalam senarai tempat tarikan pelancong.

Anak bongsu arwah Pak Sapie daripada tiga beradik, Wan Anuar, 40, yang kini meneruskan kerjabuat ayahnya berkata, kedai itu dibina atas tanah rizab kerajaan dan mereka berusaha bertahun-tahun untuk mendapatkan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) namun tidak mendapat sokongan sesiapa sehingga ke hari ini.

“Arwah ayah bina kedai ini dahulu pada awal dekad 1980-an di sini kerana kedudukannya di tepi jalan amat strategik untuk kemudahan peminat wau datang ke sini.

“Oleh kerana tanah ini bukan milik kami ia menjadi sebab kami tidak dapat memohon bekalan elektrik mahupun air, tetapi arwah ayah bertahan demi cintanya kepada kesenian wau tradisi.

“Setiap kali pengunjung datang ayat pertama saya adalah meminta maaf kerana keadaan kedai yang panas kerana tiada kemudahan elektrik, kerja-kerja membuat wau juga bergantung kepada cahaya matahari,” katanya ketika ditemui di Galeri Wau Pak Sapie di Kampung Badang di sini hari ini.

Jelasnya lagi, apa yang membuat beliau merasa ralat adalah seolah-olah jasa arwah Pak Sapie memartabatkan kesenian wau tidak dihargai kerana sehingga ke akhir hayatnya pada 16 Februari lalu ‘galeri’ itu kekal dalam keadaan begitu.

Wan Anuar berkata, pernah suatu ketika ada pihak membuat penggambaran di situ dan mereka terpaksa ‘menyewa’ elektrik daripada jiran sebelah.

“Kadang-kadang ayah juga bosan dengan keadaan ini dan terkeluar dari mulut arwah ‘biar mereka malu’ maksudnya biar orang kerajaan yang mempromosi kedai kami kepada pelancong malu sendiri.

“Kira-kira 100 hari sebelum kematiannya akibat serangan jantung ayah saya berpesan supaya masalah ini diselesaikan sebelum dia menutup mata tetapi hasratnya tidak menjadi kenyataan,” katanya. - UTUSAN ONLINE