Penaung Penyair Malaysia, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, konvensyen bertaraf dunia itu disertai penyair dari 12 negara seperti Rusia, Itali, Korea Selatan, Timur Laste, Thailand serta penyair dari kelompok rumpun Melayu nusantara.

Menurutnya, konvensyen yang berakhir esok diisi dengan program demonstrasi pemakaian kain batik, persembahan wayang kulit, deklamasi puisi, pelancaran buku Direktori Penerbitan Penyair Malaysia dan Wangian Kembang, bicara penyair serta pembentangan kertas kerja oleh penyair luar negara.

“Konvensyen pertama kali diadakan ini hasil kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Kelantan, Majlis Daerah Bachok dan Polis Kelantan.

“Ia adalah sebahagian usaha mendokong semangat dan aspirasi kedamaian sejagat untuk menarik khalayak antarabangsa terhadap sastera dan bahasa Melayu amnya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis ucap utama konvesyen tersebut hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Penyair Malaysia, Dr. A. Rahim Abdullah dan Pengarah Konvesyen itu, Datuk Dr. Mohd. Razuan Ibrahim.

Hamad Kama Piah berkata, Bahasa Melayu menjadi teras bicara sepanjang konvesyen ini berlangsung kerana delegasi penyair negara luar turut berjaya menguasai bahasa Melayu baku.

“Adalah diharapkan konvesyen ini mampu menjalinkan perkongsian pintar dan kebersamaan antara pelbagai badan dan penggiat yang terlibat dalam memartabatkan kesusasteraan tanah air merentasi dunia global,” katanya - UTUSAN ONLINE

Video oleh TOREK SULONG