Anugerah itu disampaikan oleh Timbalan Menteri (Agama) di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh kepada Timbalan Yang Dipertua Maik, Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi sempena Majlis Perasmian Konvensyen Baitulmal Kebangsaan Dan Pelancaran Sambutan Bulan Zakat Kebangsaan 2018 di Putrajaya Selasa lalu.

Nik Mohd. Azlan berkata, pihaknya memperkenalkan Sistem Bantuan IPT Online sejak 1 Februari 2013 bagi memudahkan urusan orang ramai yang berkelayakan untuk memohon bantuan zakat melanjutkan pelajaran ke IPT secara atas talian.

"Sejak 2013 sehingga hujung Oktober lalu seramai 97,388 orang telah menggunakan sistem IPT Online di mana 66.2 peratus daripada pemohon iaitu seramai 64,486 orang telah mendapat bantuan tersebut.

"Dahulu pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran perlu mengisi borang secara manual yang mana masalah kelambatan kemasukan maklumat menyebabkan ada pemohon yang terpaksa menunggu dari enam bulan hingga setahun untuk mendapat bantuan tetapi melalui inovasi yang kita lakukan kini penyaluran bantuan dapat dibuat dalam tempoh kurang tiga bulan," katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini hari ini.

Menurut Nik Mohd Azlan, pelajar yang mendapat tawaran melanjutkan pelajaran boleh memohon bantuan one-off sebanyak RM2,500 bagi program ijazah dan RM1,700 bagi program diploma.

Beliau berkata, pengiktirafan yang diterima ini memberi semangat untuk pihak Maik meningkatkan lagi mutu perkhidmatan sekali gus menangkis tohmahan segelintir pihak mengenai keupayaan Maik mengagih wang zakat.

Dalam masa sama, Nik Mohd Azlan berkata, selain kejayaan itu, Maik juga telah menerima Anugerah Citra Sahabat, Kategori Media Cetak daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atas kejayaan penerbitan satu abad Majalah Pengasuh sempena hari sambutan Inovasi DBP 2018 pada 15 November lalu. - UTUSAN ONLINE