Tinjauan Bernama di sekitar daerah ini mendapati ibu bapa sibuk membeli kelengkapan persekolahan anak di pasar raya sementara kedai gunting pula dipenuhi pelajar 'bojeng' (berambut panjang) yang mahu menggunting rambut. 


Malah, tempoh ini dianggap musim dapat tebu rebah bagi pengusaha kedai gunting sehingga ada antara mereka yang tidak menang tangan dengan kunjungan pelanggan yang tidak putus-putus.


"Ketika ini boleh diibaratkan durian runtuh bagi saya dan mana-mana tukang gunting untuk memperoleh pendapatan tambahan berbanding hari-hari biasa.


"Sejak dua minggu lalu ramai pelajar sekolah datang untuk memotong rambut," kata seorang pengusaha, Murshidi Ibrahim kepada Bernama ketika ditemui di sini, hari ini.

Mursihdi, 35 yang sudah sembilan tahun terlibat dalam perniagaan itu berkata kedainya akan dibuka setiap hari bermula 10 pagi hingga 11 malam sepanjang tempoh ini.


"Sebelum ini pelanggan kedai saya setiap hari 15 sehingga 20 orang sahaja, namun ketika ini meningkat 40 sehingga 50 orang sahari, kadang-kadang tidak sempat berehat kerana tidak mahu pelanggan tunggu lama," katanya menambah ada pelanggan yang terpaksa menunggu dua hingga tiga jam.


Dia yang dibantu seorang pekerja mampu meraih pendapatan antara RM1,000 dan RM1,200 sepanjang tempoh ini berbanding RM800 hingga RM900 sebulan pada hari-hari biasa.


"Saya kenakan bayaran RM5 hingga RM6 seorang," katanya.


Seorang pelajar, Adnan Danial Rosli, 15, berkata dia adalah pelanggan tetap kedai berkenaan kerana menepati cita rasanya.


"Jika hari sekolah biasa saya akan ke sini dua atau tiga bulan sekali untuk potong rambut bagi mengelakkan saya dikenakan tindakan disiplin oleh guru, lagipun di kedai ini murah walaupun terpaksa tunggu lama." katanya.- BERNAMA