Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hanifa Ahmad berkata, usaha membangunkan diri termasuk pengetahuan tentang kemajuan teknologi semasa perlu dilipat gandakan.

“Melayu jangan ‘ralit’ (alpa) sebab perubahan sekarang berlaku cukup hebat, kalau kita ke­tinggalan maka kita akan merempat di tempat kita sendiri.

“Sebagai Exco negeri, saya bersyukur dengan adanya saudara dan saudari yang akan menjadi tangan mempertahankan kedau­latan Melayu di Kelantan,” kata­nya semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-43 Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) negeri, di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengarah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri negeri, Nik Mohd. Fahim Muhaimin dan Yang Dipertua DPMM negeri, Mohd. Ali Amin Ab. Latif.

Seramai 90 ahli DPMM negeri hadir pada mesyuarat tersebut.

Sementara itu, Hanifa berkata, sejarah hebat generasi awal dahulu yang ke hadapan bukan sahaja perniagaan malah agama di negeri ini harus menjadi iktibar usahawan muda.

“Kesedaran untuk berniaga dan kepentingan hidup beragama sudah lama wujud dan ada dalam darah keturunan kita.

“Kitalah yang pertama me­nubuhkan majlis agama Islam negeri dan kita jugalah yang pertama menubuhkan dewan perniagaan Melayu berbanding negeri lain,” katanya.

Menurutnya, DPMM negeri yang diasaskan sejak 80 tahun dahulu akan menjadi naungan kepada semua usahawan Melayu dan persatuan yang ada.