Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan, Kementerian Pen­­didikan Tinggi, Datuk Nik Ali Mat Yunus berkata, program itu bukan sahaja meningkatkan kesedaran menjaga alam sekitar malah mampu menjana ekonomi penduduk.

Beliau berkata, projek julung ka­li di bawah program Pusat Trans­formasi Komuniti Universiti (UCTC) itu akan berlangsung sehingga Jun tahun hadapan dan memberi fokus kepada jalinan kerjasama antara pelbagai pihak.

“Program ini adalah lanjutan daripada projek UCTC di USM sebelum ini yang telah berjaya memperkasakan golongan orang kurang upaya (OKU) melalui program latihan pekerjaan dan pertanian komersil.

“Melalui Program Bijak Alam pula, kita mahu memberi pendi­dikan bahawa pengurusan sam­pah dan aktiviti kitar semula secara terancang boleh memba­wa keuntungan dan faedah selain mewujudkan kawasan persekitaran yang sihat,” katanya pada Majlis Pelancaran Program Bijak Alam dan Majlis Berbuka Puasa di Kampung Seterpa, Peringat di sini semalam.

Turut hadir Ketua Projek Program Bijak Alam, Prof. Madya Dr. Mohamed Saat Ismail.

Nik Ali berkata, program ter­sebut menggunakan kepakaran Pusat Teknologi Industri (PTI) USM dalam bidang kompos, pengurusan sistem pepejal dan enzim manakala PPSK pula terlibat dalam projek penanaman sayuran dan penyediaan ruang di inap desa.

Katanya, projek tersebut boleh dilaksanakan dan dicontohi oleh penduduk di tempat lain kerana kaedah pelaksanaan yang ringkas serta tidak rumit.

Sementara itu, menurut Nik Ali, sejak UCTC diperkenalkan pihak kementerian melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di universiti awam dari tahun 2013, ia telah banyak memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat samada dalam mahupun luar bandar.

“Sehingga kini, hampir 20 buah UCTC telah melaksanakan lebih 128 projek merangkumi pelbagai bidang antaranya pembangunan OKU; bekalan air kampung Orang Asli dan pembersihan sungai.

“Golongan ahli akademik ki­ni tidak lagi syok sendiri tetapi mereka adalah kepunyaan ma­syarakat dan bersedia turun me­nggembleng tenaga serta berkongsi kepakaran dan sumber,” katanya.