Pengarah JBPM negeri, Nazili Mahmood berkata, penerbangan yang mengambil masa selama satu jam setengah itu berlepas pada pukul 11.10 pagi di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) dan menuju ke Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, pesakit memerlukan bantuan pernafasan sepanjang masa dan tidak boleh melalui perjalanan darat yang mengambil masa terlalu lama.

“Pesakit perlu bergantung pada mesin bantuan pernafasan yang memerlukan oksigen berserta rawatan rapi daripada doktor dan jururawat sepanjang perjalanan.

“Jadi, pesakit ini tidak boleh dihantar menggunakan ambulans atau melalui perjalanan darat, sebab itu pihak bomba meluluskan permohonan itu kerana rawatan segera yang diperlukan,” katanya di LTSIP di sini hari ini.

Aisha Hana Humaira ditemani ibunya, Farhana Khalid, 31 serta seorang doktor dan jururawat menerusi penerbangan yang diketuai oleh Pegawai Kanan Bomba I, Faizal Izani Azizan dan juruterbang, Kapten Leong Cheong Meng.

Sementara itu, Pegawai Perubatan, Jabatan Pediatrik, Hospital Raja Perempuan Zainab II, Dr. Muhammad Saufi Abdullah berkata, pesakit yang menghidap masalah jantung sejak lahir itu memerlukan pembedahan segera di IJN.

“Pesakit mengalami masalah Congenital Severe Mitral Regurgitation, walaupun dalam keadaan tenat tetapi keadaan bayi itu stabil dan memerlukan rawatan terperinci oleh doktor pakar di sana.

“Ini kerana, pembedahan ini melibatkan bahagian jantung sendiri yang hanya mempunyai kepakaran di IJN. Jadi, kita sangat berterima kasih kepada pihak bomba kerana membenarkan penerbangan ini dilakukan,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE