Pengarah program, Prof. Dr. Ramlee Abdullah berkata, program yang mendapat kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) itu dilakukan bagi membantu penduduk Orang Asli di pedalaman.

Beliau yang juga Dekan Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL) Unisza berkata, sebanyak dua ekor lembu disumbangkan Maik telah dikorbankan dalam program berkenaan.

“Program ini mendapat kerjasama padu daripada masyarakat Orang Asli yang begitu bersemangat dan memahami apa yang sepatutnya mereka lakukan dalam menjayakan ibadat korban.

“Saya melihat ini adalah satu perkembangan yang cukup baik berkenaan pengetahuan keagamaan mereka. Mereka semakin memahami dan komited dalam melaksanakan ibadah mengikut ajaran agama Islam ini.

“Kita (Unisza) sebagai sebuah universiti komuniti juga akan sentiasa berkhidmat dan melaksanakan peranan yang bersabit dengan pembangunan komuniti termasuklah program kerohanian,” katanya.

Yang turut hadir, Pembantu Pegawai Dakwah Maik, Ahmad Nordin dan Pengarah Unisza kampus Besut, Prof. Madya Dr. Khamsah Suryati Mohd.

Penghulu Kampung Aring 5, Raina Anjang berkata, pada tahun ini kampung mereka meriah de­ngan kehadiran sukarelawan Unisza yang membantu Orang Asli melapah daging dan memasak makanan.

Katanya, Orang asli sangat bersyukur dan berharap program berkenaan diteruskan pada tahun akan datang.

“Kita melihat Orang Asli yang memeluk Islam sejak tahun 1993 itu semakin memahami pengertian ibadah korban.