Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, modul pengajaran dan pembelajaran itu selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) bagi melahirkan graduan holistik dan seimbang.

Beliau berkata, ‘program dua campur dua’ itu merupakan satu model baharu yang mana pelajar mempunyai keseimbangan antara pengajian akademik dan latihan praktikal.

“Dalam tempoh pengajian empat tahun atau lapan semester ini, pelajar akan mempelajari teori dua tahun dan selebihnya menjalani latihan praktikal.

“Bagaimanapun semasa menjalani latihan industri, pelajar itu tidak akan dipantau dan pada masa sama perlu menyediakan laporan dan berkongsi idea tentang perniagaan yang disertai (latihan praktikal),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan dengan Kepujian di UMK, di sini kelmarin.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha dan Naib Canselor UMK, Datuk Dr. Mortaza Mohamed.

Dalam majlis tersebut, enam syarikat ikon iaitu Hotel Renaissance Kota Bharu, Nadicorp Holding Sdn. Bhd., Perdana Ekspres, Ilham Zips Auto Accessories, Kristal Mewah Enterprise dan Hasriff Ice menerima watikah pelantikan daripada UMK.

Menurut Idris, modul tersebut disifatkan lebih baik daripada pengajian konvensional dan mampu melahirkan graduan berkualiti berdasarkan pendedahan dan pengalaman dalam dunia perniagaan.

“Insya-Allah apabila tamat pengajian kelak, pelajar terbabit sudah faham bagaimana untuk menjalankan perniagaan sendiri. Pada masa sama, mereka juga diharap dapat menjana pekerjaan,” katanya.

Tambahnya, pengambilan pertama Program Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan dengan Kepujian itu dijangka pada sesi pengambilan baharu, September ini bagaimanapun bergantung kepada kelulusan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).