Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UMK, Prof. Datuk Dr. Ibrahim Che Omar berkata, sektor industri seperti cari gali dan perlombongan di negeri ini sebelum ini terpaksa menghantar sampel bahan ke negeri-negeri Pantai Barat akibat kekangan teknologi berkenaan.

“UMK melalui Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi sudah memiliki dua mesin yang berharga RM1 juta. Mesin berkenaan bukan sahaja digunakan dalam bidang sains perubatan malah meliputi pelbagai lapangan lain seperti industri cari gali, perlombongan, bahan termaju, industri kraf dan alam sekitar.

“Sebelum ini, sektor industri terpaksa ke negeri Pantai Barat untuk menghantar analisis sampel bahan dan kajian yang sudah tentu mencecah kos yang tinggi. Di sini kita tawarkan harga sebanyak RM200 bagi setiap sampel yang dihantar dan kita sudah menganalisis sebanyak 800 sampel berkaitan penyelidikan pelajar serta permintaan sektor industri,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Sinar X dan Teknik Berkaitan Penyelidikan serta Industri 2018 (ICXRI) di Hotel Grand Riverview di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Persatuan Aplikasi Sinar X (XApp-MNS), Prof. Dr. Zainal Arifin Ahmad dan Pengerusi ICXRI, Dr. Muhammad Azwadi Sulaiman.

Seramai 120 penyelidik dari Universiti Awam (UA) termasuk 11 pembentang jemputan dari Australia, Singapura dan New Zealand mengambil bahagian dalam persidangan yang berlangsung selama dua hari itu. – UTUSAN ONLINE