Anggota APM berjaya menangkap ular sawa batik yang menceroboh kawasan rumah penduduk di Kampung Awet, Gua Musang, Kelantan, kelmarin.

Pegawai APM daerah, Mohd. Yussalmi Mohd. Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang penduduk, Mohd. Rizuan Che Kamarudin, 32, yang terlihat ular tersebut berhampiran rumah mereka kira-kira pukul 6.40 petang.

Katanya, ular sepanjang lima meter itu dipercayai keluar daripada habitat asalnya untuk mencari makanan.

“Seramai tiga anggota telah dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.46 petang.

“Ular ini berkenaan berjaya ditangkap dalam masa sepuluh minit menggunakan peralatan khas dan akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah Yussalmi, pihak­nya banyak menerima laporan berkaitan kes ular sejak kebelakangan ini.

“Hujan lebat dipercayai menjadi punca semakin banyak kes ular bersaiz besar menceroboh masuk rumah penduduk di daerah ini.

“Kami semakin kerap mene­rima laporan kecemasan berhubung ular sepanjang tiga hingga lima meter,” katanya.