Ketua Wanita Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) ne­geri, Prof. Madya Dr. Zaharah Sulaiman berkata, perkara itu perlu dipandang serius memandangkan masih banyak kes sumbang mahram yang berlaku tidak dilaporkan.

Beliau berkata, kebanyakan mereka tidak berani membuat laporan kerana malu untuk membuka aib keluarga selain takut kehilangan sumber pendapatan sekiranya pelaku ditangkap.

“Ini kerana, pelakunya mungkin terdiri daripada bapa, abang, bapa saudara mahupun keluarga terdekat yang menyara keluarga. Jadi, apabila mereka membuat laporan, mereka kehilangan tempat untuk bergantung.

“Oleh itu, persepsi ma­syarakat perlu diubah, kalau tiada sokongan dan perlindu­ngan, mangsa mahupun ahli keluarga tidak membuat laporan dan siapa yang akan membela nasib mangsa?,” katanya kepada dalam Seminar Haruan Makan Anak di Dewan Kuliah 1, Universiti Sains Malaysia (USM) di sini semalam.

Sementara itu, Aktivis Sosial, Syed Azmi Al Habshi berkata, biasanya perlakuan sumbang mahram ini hanya dilaporkan apabila mangsa mengandung atau mengalami kecederaan.

“Namun apabila kes melibatkan perbuatan seperti meraba atau mencium masih banyak yang tidak dilaporkan dan ia membimbangkan.

“Selain itu, banyak lagi ruang yang perlu dibaiki seperti jurubahasa untuk orang kurang upaya (OKU) kerana mesti ada mangsa yang terdiri daripada golongan ini,” katanya.

Menurutnya, kaunselor juga turut memainkan peranan untuk bercakap dengan masyarakat bagaimana mahu membantu mangsa pelaku sumbang mahram serta ahli keluarga.