Sebagaimana sukarelawan lain, kumpulan itu yang dikenali sebagai anggota Persatuan Penganut Buddha Tzu Chi Merit Malaysia (Tzu Chi) nampak ‘biasa-biasa’ sahaja.

Bagaimanapun, penampilan mereka yang amat mementingkan kekemasan, kebersihan serta ber­disiplin tinggi mencuri tumpuan penulis yang memerhatikan kumpulan itu bekerja.

Bayangkan, tidak ada seorang pun melanggar peraturan asas iaitu memakai pakaian seragam lengkap meskipun sehari suntuk bekerja membersihkan lumpur di bawah matahari yang panas terik.

Mereka setia berbaju T biru tua dengan mengenakan butang penuh serta berseluar khakis, bertopi dan berkasut serba putih tanpa mengeluh sedikit pun.

Selain disiplin tinggi para sukarelawan, komitmen penduduk kampung yang berganding bahu melakukan kerja-kerja pembersihan bersama kumpulan tersebut juga mengagumkan.

Penduduk tanpa mengira usia dan jantina kelihatan ceria bergotong-royong menyodok lumpur, membersih­kan dinding premis serta kediaman, mengumpul dan me­ngangkut sampah sarap masuk ke dalam lori.

“Tzu Chi memper­kenalkan konsep bantuan yang berbeza. Mereka menghulurkan bantuan, namun pada masa sama mengambil kami bekerja dan memberi upah,” kata seorang penduduk, Nik Azman Shah Nik Hassan, 56.

Nik Azman Shah menambah, memandangkan penduduk yang rata-ratanya penoreh getah masih tidak bekerja, mereka merebut peluang itu untuk berkhidmat dengan Tzu Chi.

“Sebenarnya kami bekerja membersihkan kawasan kampung sendiri, jadi kalaupun Tzu Chi tidak memberi upah, kerja-kerja ini tetap memberi kebaikan kepada kami.

“Lagipun seronok juga bekerja beramai-ramai. Aktiviti ini merapatkan lagi hubungan sesama penduduk di samping berpeluang menjalinkan ukhwah dengan para sukarelawan Tzu Chi yang pe­ramah,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Tzu Chi, Koay Ji Yuan memberitahu, sejak Disember lalu, pihaknya telah menggerakkan hampir 2,000 sukarelawan dari seluruh negara untuk membantu membersihkan kawasan yang terjejas teruk akibat banjir di Kelantan, ter­utama di Manek Urai.

Katanya, selain sukarelawan, Tzu Chi yang diasaskan di Taiwan pada 1966, turut membawa lebih 20 doktor untuk menghulurkan bantuan dalam aspek perubatan.

Mengenai konsep ‘upah’, Ji Yuan memberitahu, Tzu Chi berjaya me­ngumpul kira-kira 1,200 penduduk untuk mengambil upah melakukan kerja-kerja pembersihan jalan, masjid, sekolah dan kediaman bersama para sukarelawan.

Operasi itu kata beliau, dilakukan selama beberapa hari berturut-turut dan setiap penduduk yang mengambil bahagian dibayar wang tunai RM100 sehari.

“Jika kita beri sumbangan wang tunai semata-mata, mangsa banjir akan terus bergantung kepada bantuan tanpa berbuat apa-apa. Pilihan lebih baik adalah kita menyediakan mereka hala tuju, iaitu mengajak untuk bekerja dan memberi ganjaran.

“Percaya atau tidak, mereka jauh lebih gembira apabila bekerja bersama kami berbanding duduk terme­nung mengenang nasib diri serta harta benda yang musnah,” katanya.

Sebelum mula bergotong-royong, penduduk yang menyertai aktiviti tersebut akan menerima sekeping kupon dan perlu menukarnya dengan sekeping lagi kupon lain sebaik sahaja selesai bekerja. Kupon tersebut kemudiannya boleh ditukar dengan wang tunai.

Difahamkan sehingga kini, persatuan itu telah menyalurkan sumbangan sebanyak RM2 juta me­rangkumi wang tunai, barangan keperluan harian dan makanan serta perkhidmatan perubatan.

Ji Yuan dalam pada itu mengakui, pihaknya terharu apabila ada penduduk enggan menukarkan kupon yang diperoleh dengan wang tunai walaupun telah berkali-kali dipujuk.

“Sikap mereka amat terpuji dan selaras dengan matlamat misi yang ditetapkan pengasas Tzu Chi iaitu Master Cheng Yen yang mahu me­­­–­
­­n­yedarkan orang ramai bahawa wang bukan segala-galanya,’’ katanya.