Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, apa yang lebih penting sekarang adalah untuk mendapat penjelasan daripada agensi seperti Jabatan Perhutanan negeri mengenai apa yang sebenarnya berlaku.

“Betullah kita tidak turun. Takkanlah bila sesuatu berlaku kita kena turun? Kita perlu tahu cerita dahulu, kemudian baru kita tahu perlu atau tidak kita turun.

“Sekarang kita hantar dahulu Jabatan Perhutanan yang akan buat laporan, selepas itu kalau perlu sama ada Menteri Besar atau saya sendiri akan turun ke sana.

“Kita perlu ingat lesen dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan yang ada peraturan pembalakan yang mesti dipatuhi dan mempunyai penguatkuasa begitu juga Jabatan Alam Sekitar yang memantau setiap projek pembangunan hutan yang mana berdasarkan pengalaman sebelum ini mereka akan segera keluarkan perintah henti kerja jika ada pelanggaran,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas kepada pemberita selepas merasmikan blok bangunan baharu Sekolah Menengah Ugama (Arab) Tarbiah Mardhiah, Panchor di sini hari ini.

Mohd Amar diminta mengulas dakwaan daripada masyarakat Orang Asli yang membuat sekatan di Cawas, Tohoi dan Kuala Wok, Gua Musang sejak minggu lalu bahawa pimpinan Kerajaan Pas Kelantan tidak muncul untuk menyelesaikan isu pembalakan di penempatan mereka. - UTUSAN ONLINE