Ruzilawati yang berasal dari Kampung Jambu Merah, Melor dekat sini mengalami kecacatan fizikal pada jari di kedua-dua belah tangan serta kudung kaki sebelah kiri.

Walaupun bagaimanapun, kekurangan itu sedikitpun tidak menghalangnya daripada menceburkan diri dalam bidang jahitan sejak 19 tahun lalu.

Katanya, dia mula membuka kedai jahit dan menerima tempahan pada tahun 2001 selepas mengikuti bengkel teknik jahitan pakaian yang sediakan oleh Majlis Agama Istiadat Kelantan (MAIK) bagi golongan asnaf selama lapan bulan secara percuma.

“Selepas mengikuti bengkel tersebut, saya mula memberanikan diri dengan membuka kedai dan mula menerima tempahan menjahit beberapa jenis baju.

“Pada waktu itu, saya memulakan perniagaan dengan bermodalkan wang sebanyak kira-kira RM2,000 untuk membeli dua buah mesin jahit serta menyewa kedai,” katanya ketika ditemui di kedainya di Melor di sini hari ini.

Ruzilawati berkata, ketika mula-mula membuka kedai, dia mengambil inisiatif dengan mengantung kira-kira 20 pasang baju kurungnya bagi menarik pelanggan.

Ruzilawati Ghazi
RUZILAWATI GHAZAI menunjukkan beberapa jenis baju yang dijahitnya mengikut kehendak pelanggan. - UTUSAN ONLINE/ Rosmizan Resdi

“Alhamdulillah selepas itu, rezeki saya semakin bertambah terutama setiap kali menjelang hari raya di mana saya menerima tempahan satu kali ganda dari hari biasa.

“Pada tahun ini, saya perlu menyiapkan 200 helai baju yang ditempah pelanggan untuk dipakai pada Hari Raya Aidilfitri nanti,” katanya.

Tambahnya, dia mengambil upah di antara RM35 hingga RM60 bagi sepasang baju mengikut jenis baju yang ditempah oleh pelanggan.

“Setakat ini, saya telah menguasai kemahiran untuk menjahit beberapa jenis baju seperti baju kurung, kebaya, peplum, serta jubah,” katanya.

Dalam pada itu, Ruzilawati berkata, dia berharap golongan orang kurang upaya (OKU) di luar sana dapat berusaha untuk menjana pendapatan sendiri.

“Saya mengambil keputusan untuk menjahit bagi membantu menambah pendapatan keluarga memandangkan suami saya juga OKU yang bekerja sebagai tukang kebun.

“Kekurangan fizikal ini sedikitpun tidak menghalang saya dan suami untuk menjana pendapatan bagi membesarkan empat orang anak yang berusia di antara 13 hingga empat tahun, “ katanya. - UTUSAN ONLINE