Sebahagian besar ibu bapa yang memboikot sekolah tersebut semakin pulih daripada trauma apabila telah menghantar anak mereka untuk menyambung pembelajaran seperti biasa selepas beberapa tahun kejadian berkenaan berlaku.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Tohoi, Eder Baharon berkata, bilangan anak masyarakat Orang Asli yang dihantar ke sekolah semakin meningkat.

Katanya, sejak sesi persekolahan baharu dibuka tiga minggu lalu, seramai 219 murid Orang Asli melaporkan diri untuk belajar di sekolah ber­kenaan.

“Kita melihat ibu bapa Orang Asli semakin menyedari kepentingan pendidikan apabila tidak menyekat kehadiran anak mereka ke sekolah.

“Sebelum ini kita sudah habis usaha untuk memujuk ibu bapa di kampung pedalaman supaya menghantar semula anak mereka ke sekolah. Tahun ini kita nampak ibu bapa sudah melupakan tragedi itu dan kembali hantar anak untuk belajar dan tinggal di asrama sekolah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Dalam kejadian 23 Ogos 2015, tujuh murid Orang Asli yang tinggal di asrama SK Pos Tohoi dilaporkan lari dari asrama dipercayai takut dikenakan tindakan oleh guru kerana mandi di sungai tanpa kebenaran.

Selepas hampir 50 hari hilang, Norieen Yaakob, 10, dan Mirsudiar Aluj, 11, ditemukan masih hidup dalam keadaan kelaparan di tebing sungai di hutan berkenaan.

Manakala, lima lagi kanak-kanak yang terkorban ialah Ika Ayel, 9, Sasa Sobrie, 8, Haikal Yaakob, 8, Linda Rosli, 8, dan Juvina David, 7, yang kesemuanya dari Kampung Gawin, Pos Gob dan Kampung Penad, Pos Simpor.

Seorang bapa murid Orang Asli, Along Angah, 43, berkata, sebelum ini ibu bapa masih bimbang keselamatan anak mereka.

“Dua anaknya turut terjejas dalam pelajaran kerana penduduk kampung memboikot dan tidak membenarkan anak ke sekolah.

“Kita bersedih dan takut, namun sampai bila kita harus bersikap begitu sehingga pelajaran anak terabai. Jadi kita mengambil keputusan untuk menghantar anak untuk belajar semula dan berharap pihak sekolah menjaga amanah kami sebaiknya,” katanya.