Siti Norfatihah Mohammad, 22, berkata, dia dan suaminya, Mohd. Zulkifli Che Noh, 27, membuat keputusan menolak rawatan kimoterapi dan pembedahan kerana ingin mencuba kaedah rawatan alternatif kerana tidak mahu melihat anaknya itu terus sengsara.

Katanya, keputusan itu dibuat kerana mereka difahamkan kaedah kimoterapi amat menya­kitkan dan percaya masih ada kaedah lain yang mampu untuk mengubati penyakit tersebut.

“Ummul Najwa Nasuha meru­pakan satu-satunya permata berharga dan kekuatan buat saya dan suami. Saya sangat rindu untuk bercakap dengannya seperti sebelum ini.

“Namun ketika ini dia tidak mampu berbuat demikian kerana lehernya bengkak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Apa-Apa di sini semalam.

Terdahulu, Norfatihah mene­rima kunjungan Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Dr Nik Azlan Abd. Hadi yang tampil menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban pasangan yang kurang berke­mampuan itu.

Siti Norfatihah memberi­tahu, apa yang berlaku sungguh mengejutkan kerana anaknya itu tidak menunjukkan tanda-tanda berpenyakit sebelum ini.

“Sehinggalah Aidilfitri baru-baru ini, saya perasan mata se­belah kirinya juling dan beberapa hari selepas itu hidungnya pula mengeluarkan darah tanpa henti.

“Saya juga mendapati ada kesan bengkak dalam hidungnya dan disebabkan risau dengan keadaan tersebut kami membawa dia ke hospital,” ujarnya.

Katanya, selepas dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Ummul Najwa Na­suha disahkan menghidap kan­ser hidung dan sudah mencapai tahap empat.

“Alhamdulillah, bengkak yang dialami Ummul Najwa semakin surut, bagaimanapun dia masih bergantung sepenuhnya kepada susu dan makanan lembut.

“Saya berterima kasih kepada semua penyumbang budiman yang sudi menghulurkan bantuan bagi meringkan penderitaan Ummul Najwa. Sesungguhnya, sumbangan yang diberikan itu amat besar ertinya buat kami sekeluarga. Saya akan gunakan sepenuh­nya bantuan itu untuk merawat Ummul Najwa,” katanya.

Orang ramai yang ingin meng­hulurkan bantuan boleh menyalurkan terus ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) menerusi 0300741000176135.