Begitulah yang dibuktikan seorang warga emas, Said Ali dari Kampung Baloh, Manir, Kuala Terengganu apabila masih punya kudrat menyertai Festival Silat Kebangsaan Kelantan 2017 yang berlangsung sejak semalam di Gelanggang Seni di sini biarpun sudah berusia 110 tahun.

Said atau lebih mesra dipanggil Tok Ki bukan sekadar menjadi 'penumpang' dalam kontinjen pesilat Terengganu seramai 15 orang bahkan beliau juga me­nunjukkan kehandalan berpencak silat dengan pemuda yang jauh lebih muda.

“Saya rasa sihat apabila dapat buka langkah silat, tidak ada masalah bersilat dengan orang muda.

“Orang muda mungkin nampak kuat tapi saya masih boleh menewaskan mereka bila-bila masa. Apabila kita masuk gela­nggang, semangat jadi lain,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Biarpun umurnya sudah melepasi satu kurun, Said yang bertubuh kecil dan mengalami sedikit masalah pendengaran kerana faktor usia, namun dia tidak pernah masuk hospital untuk rawatan apa-apa penyakit.

Malah dia adalah guru tua bagi Kumpulan Seni Silat Gayuman Langkahan Serilatjuna yang mengajar silat pulut kepada kira-kira 15 anak murid di ge­langgang di hadapan rumahnya di Kampung Baloh.

Menurut cucunya, Wan Amirul Shamnie Wan Rosli, 29, datuknya mampu mengangkat dan menjatuhkan lawan dalam gelanggang sebagaimana pesilat muda lain.

“Saya sendiri yang berat hampir 100 kilogram (kg) pernah Tok Ki angkat dan jatuhkan semasa kami buat persembahan silat pulut dalam majlis kenduri kahwin.

“Orang dengar silat pulut mungkin menyangka ia tidak setangkas seni silat lain tetapi sebenarnya di sebalik silat yang kelihatan lembut ini ada langkah kerasnya sebagaimana sifat orang Melayu sendiri,” katanya.

Seramai 400 pesilat dari Terengganu, Pahang, Perak, Johor, Kuala Lumpur termasuk tuan rumah, Kelantan menyertai festival dua hari anjuran Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) Kelantan dengan kerjasama Pertubuhan Gabungan Seni Silat Warisan Nusantara Kelantan.