Pengurus Besar (Perkhidmatan Pelanggan), Datuk Ir. Yuslan Yusof berkata, khidmat nasihat itu sedia diberikan kepada mana-mana pusat yang berminat.

“Biasanya proses pendawai­an (elektrik) mengikut perun­dangan di bawah seliaan Suruhanjaya Tenaga.

“Bagaimanapun, pada tahun lalu TNB ada melakukan kerja-kerja pendawaian untuk pusat pengajian pondok dan tahfiz yang terpilih menerusi program khidmat masyarakat,” katanya selepas majlis Penyerahan Tajaan dan Pelancaran Kejohanan Hoki Antarabangsa NineTen 2017 Edisi Pertama di Sekolah Kebangsaan (SK) SR Neting, Pengkalan Kubor, di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, TNB Kelantan turut menyerahkan tajaan berjumlah RM20,000 bagi menjayakan kejohanan tersebut.

Yang turut hadir Presiden Hoki Kelantan, Muhammad Azam Ismail dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor, Mat Razi Mat Ail.

Sebanyak 60 pasukan dari seluruh negara termasuk Thailand akan berentap pada kejohanan dua hari yang berlangsung pada 14 dan 15 Oktober ini.

Dalam perkembangan lain, Md. Yuslan berkata, TNB Kelantan sentiasa komited dalam memajukan sukan hoki di negeri.

Katanya, dua sekolah iaitu SK Tualang Tinggi, Pasir Puteh dan SK Simpangan, Tumpat telah dipilih mengikuti program pintar dalam mencungkil bakat untuk sukan hoki.

“Kedua-dua sekolah ini me­nerima sumbangan kelengkapan hoki dan klinik dalam memberi pendedahan tentang asas bermain dengan betul.

“Saya lihat, kedua-dua sekolah ini mempunyai potensi besar dalam melahirkan jaguh hoki Kelantan untuk masa depan,” katanya.