Selain keadaan rumah yang uzur, setiap tetamu yang datang pasti perasan kewujudan tirai kain di ruang tengah yang menghalang pandangan mata daripada barang-barang peribadi tuan rumah.

Hamparan kain yang diikat pada palang kayu itu hakikatnya berfungsi sebagai ‘dinding bilik tidur’ penghuni termasuklah ruangan untuk ibu beranak tiga, Siti Nur Azlina Ghani, 27, yang baru sahaja kematian suami, Mohd Zulkifli Abdul Ghaffar akibat serangan jantung pada 19 November lalu.

KETUA Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bachok, Datuk Mohd Rawi Dollah (dua kiri) bertanyakan sesua

KETUA Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bachok, Datuk Mohd Rawi Dollah (dua kiri) bertanyakan sesuatu kepada Siti Nur Azlina Ghani (mendukung bayi) ketika membuat lawatan bersama rombongannya di Kampung Padang Lati Hilir, Bukit Marak di Bachok hari ini. - UTUSAN ONLINE

“Sebelum ini saya dan anak-anak Muhammad Danial, 7, Muhammad Ikhwan, 4, dan Muhammad Adam Amin, lapan bulan tinggal di Pekan, Pahang kerana arwah suami bekerja sebagai pemandu lori di sana.

“Selepas kematiannya kami pulang ke kampung dan menumpang di rumah ini yang turut dihuni abang kandung, Mohd Maliki, 29, yang bekerja sebagai pesawah dan isterinya, Nor Shahida Aziz, 31, serta empat anak berusia enam bulan hingga 10 tahun,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

KEADAAN ruang tidur Siti Nur Azlina Ghani dan anak-anaknya di Kampung Padang Lati Hilir, Bukit Marak

KEADAAN ruang tidur Siti Nur Azlina Ghani dan anak-anaknya di Kampung Padang Lati Hilir, Bukit Marak di Bachok hari ini. - UTUSAN ONLINE

Siti Nur Azlina yang merupakan anak keenam dari 12 beradik tidak mempunyai punca pendapatan kini bergantung kepada belas ihsan keluarga terutama ibunya, Siti Aminah Daud, 56, yang tinggal berhampiran.

Sementara itu, Siti Aminah pula berkata, tempat tinggal anak menantu dan cucu-cucunya itu dibina atas tanah milik sendiri menggunakan kayu lama yang dikutip daripada bekas rumah orang kampung yang dirobohkan.

“Mulanya dahulu anak sulung saya Mohd Azmi, 38, yang tinggal di sini tetapi selepas dia berpindah ke Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu, adiknya Mohd Maliki sekeluarga pula yang tinggal sejak enam tahun lalu,”katanya.

Siti Aminah berkata, pada Rabu lalu (kelmarin), wakil rakyat kawasan itu telah menghantar bekalan pasir, batu dan simen untuk membantu membina rumah baharu namun perkara itu mustahil dilakukan kerana perlu mencari tukang rumah sendiri sedangkan mereka tidak mampu.

KETUA Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bachok, Datuk Mohd Rawi Dollah bersama rombongan melihat ke

KETUA Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bachok, Datuk Mohd Rawi Dollah bersama rombongan melihat keadaan rumah didiami keluarga Siti Nur Azlina Ghani dan abangnya di Kampung Padang Lati Hilir, Bukit Marak di Bachok hari ini. - UTUSAN ONLINE

Terdahulu, Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bachok, Datuk Mohd Rawi Dollah bersama rombongannya hadir menyampaikan bantuan makanan.

Mohd Rawi berkata, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah meluluskan bantuan kanak-kanak berjumlah RM300 sebulan bagi menampung keperluan anak-anak Siti Nur Azlina bermula pertengahan Februari ini.

“Kita akan memastikan keluarga ini mempunyai rumah baharu dan mendapat bantuan kebajikan lain yang dijamin di bawah Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan (PH),”katanya. - UTUSAN ONLINE