Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Azmi ­Osman berkata, saranan tersebut dilontarkan berdasarkan kepada tinjauan yang telah dilakukan pihaknya ke kawasan itu.

“Jadi saya merayu kepada semua peniaga di kawasan ini supaya memberikan perhatian kepada aspek pencegahan kebakaran yang merupakan salah satu perkara penting dan tidak boleh diambil ringan.

“Kita tidak mahu disebabkan kelalaian ini mereka (peniaga) berdepan dengan bahaya kerana Bukit Bunga merupakan salah satu pusat tumpuan pelancong untuk membeli belah dalam kalangan pelancong tempatan dan luar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Perbarisan Tahunan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Kelantan di sini hari ini.

Azmi memberitahu, pihak­nya juga berharap para peniaga di kawasan tersebut mempunyai sekurang-kurangnya alat ­pe­madam api di dalam premis berkenaan.

“Kita juga berharap para peniaga tidak membuat pendawaian elektrik tambahan di premis mereka tanpa mendapat kelulusan dari pihak berkenaan kerana ini akan meningkatkan risiko kebakaran,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Azmi berkata, pihaknya akan mewujudkan Hentian Kebakaran sebagai persediaan menghadapi kecemasan sepanjang musim ­pe­rayaan Tahun Baharu Cina yang bermula 28 Januari ini.

Katanya, Hentian Kebakaran itu melibatkan kawasan berisiko mengalami kesesakan iaitu Kota Bharu, Pengkalan Kubor dan Rantau Panjang.

“Setiap Hentian Kebakaran, kita akan tempatkan jentera bersama anggota untuk memudahkan bantuan diberikan sekiranya berlaku kecemasan.

“Ini adalah salah satu inisiatif yang kita ambil untuk melancarkan lagi operasi menyelamat sekiranya berlaku kecemasan,” katanya.