Ketua kumpulan ‘Gi Mekoh Nga Mutor’, Diami Yusoff, 58, berkata, dia bersama dua rakannya, Mohd. Zalani Zulkifli, 64, dan Mohamad Fadhli Ab. Rashid, 40, semakin bersemangat memulakan kembara mereka pada 3 November hadapan apabila menerima sokongan padu pelbagai pihak.

Terbaharu, adalah penganjuran Kelantan Bike Week 2018 oleh Kelantan Bikers dengan kerjasama Tourism Malaysia negeri dan Urusetia Belia dan Sukan negeri pada 15 September ini di Stadium Sultan Muhammad Ke IV di sini bertujuan menampung sebahagian perbelanjaan perjalanan mereka.

“Kami akan menggunakan tiga buah motosikal kapcai berkuasa 135cc untuk perjalanan selama dua bulan sejauh 14,000 kilometer.

“Kami bakal merentasi lapan buah negara termasuklah Thailand, Myanmar, India, Pakistan, Iran, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi dengan anggaran kos kira-kira RM40,000 setiap seorang.

“Cabaran hebat menanti di India kerana cuaca melampau di sana ditambah laluan bersalji, setakat ini sebahagian urusan visa sudah selesai dan kini kami me­numpukan untuk aspek kecergasan dan kesihatan diri,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) negeri, Mohd. Aidil Afizie Daud; Pe­ngarah Tourism Malaysia negeri, Hafiz Hazin dan Penaung Kelantan Bikers, Rafie Che Mat.

Kisah mengenai rancangan tiga sahabat ini mengembara ke Mekah dengan motosikal kapcai pernah disiarkan Utusan Malaysia pada awal tahun ini.

Sementara itu, Rafie berkata, acara Kelantan Bike Meet 2018 yang berlangsung dari 8 pagi hingga 12 tengah malam itu menampilkan beberapa keistimewaan antaranya penganjuran pertandingan azan, konvoi pelancongan, pertunjukkan motosikal dan kese­nian selain cabutan bertuah berupa sebuah motosikal Yamaha 125Z.

Beliau berkata, sebahagian dari­pada yuran penyertaan RM30 seorang akan disumbangkan kepada dana ‘Gi Mekoh Nga Muto’.

“Kita yakin hasrat tiga orang sahabat yang mahu ke Mekah ini mendapat sokongan ramai sama ada yang meminati sukan motosikal mahupun masyarakat umum.

“Setakat ini sudah lebih 1,000 peserta sudah membuat pendaftaran awal termasuklah dari luar negara seperti jiran kita Thailand, kita jangka peserta dari luar akan mula datang sehari sebelum program lagi,” katanya.