Menyedari hakikat itu, Kelab Media Kelantan (Kemudi) me­ngambil inisiatif menganjurkan cabaran ‘Biggest Losser’ yang di­sertai seramai 30 pengamal media di negeri ini.

Program yang bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat se­perti bersenam dan mengambil makanan seimbang itu juga merupakan cabaran buat peserta menurunkan berat badan ideal dalam tempoh tiga bulan.

Pengarah program berkenaan, Syaheerah Mustafa berkata, program julung kali diadakan itu berhasrat menekankan kepentingan memiliki tubuh badan sihat dan jisim berat badan (BMI) ideal dalam kalangan pengamal media di negeri ini.

“Sebagai wartawan, jurugambar dan editor kita juga perlu memiliki rupa paras menawan kerana kerjaya ini menyebabkan kita berjumpa pelbagai lapisan masyarakat.

“Tidak dinafikan juga, kita selalu terdedah dengan makanan yang menyelerakan di setiap tempat tugasan semasa membuat liputan. Justeru, program berbentuk pertandingan selama tiga bulan ini akan mendisiplinkan peserta memilih makanan yang berkhasiat serta cergas dalam kehidupan seharian,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Program berkenaan juga turut mendapat kerjasama erat daripada Bard Gym yang dimiliki oleh pemegang Ijazah Sarjana Muda Pemasaran, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohd. Badrul Insan Kauzi.

Gimansium yang beroperasi sejak 2016 itu terletak di Jalan Seri Cemerlang selain mempunyai sebuah cawangan di Kubang Kerian.

Menurut Mohd. Badrul yang lebih mesra dikenali sebagai Bard, idea menubuhkan gimnasium berkenaan mula tercetus selepas dia dilantik menjadi Presiden Bina Badan Kelantan.

“Saya cuba menampilkan ke­lainan di gimnasium ini dengan menyediakan gelanggang Muay Thai untuk peminat sukan itu yang mana saya sendiri bertindak selaku tenaga pengajar dan dibantu empat jurulatih berpengalaman dan diiktiraf daripada Persatuan Muay Thai Malaysia.

“Buat masa ini, kami adalah pusat gimnasium komersial muay thai pertama di Kelantan yang menyediakan segala kemudahan pembelajaran sukan ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, selain memiliki kelengkapan peralatan seperti Dumbbell, Barbell, Kettlebells dan mesin Abs Crunch, Bard Gym juga memiliki sebuah mesin iaitu Multiple Station yang berfungsi membantu lapan fungsi utama di tubuh badan wanita.

“Bukan hanya untuk kurus, tetapi mesin ini membantu lapan skop utama dalam badan melibatkan peredaran darah, jantung dan sebagainya.

“Saya beli mesin ini untuk bantu golongan wanita yang berdepan pelbagai kekangan untuk bersenam, terutamanya melibatkan masa. Insya-Allah mesin ini dapat membantu,” ujarnya.