Presiden Persatuan Juruukur Tanah Bertauliah Malaysia (PEJUTA), Datuk Sr. Dr. Mohd. Zaid Abdullah berkata, dengan adanya hasil pelan pemetaan, jangkaan awal dapat dibuat terhadap kawasan takungan air serta legeh sungai terutama di kawasan hulu dapat dipantau.

Malah beliau berkata, pihaknya turut menggunakan teknik 'maritime sounding' bagi mengukur paras air sungai sebelum dan semasa banjir berlaku.

“Kita membuat pemetaan de­ngan menggunakan teknik ini di Sungai Aring dan Sungai Lebir di Gua Musang pada hujung tahun lalu dan datanya telah diserahkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk tindakan lanjut.

“Melalui hasil data tersebut, JPS boleh membuat peranca­ngan samada untuk mendalamkan sungai atau membina benteng bagi program tebatan banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Demonstrasi dan Pameran UAV Sempena Workshop PEJUTA 2017 di Padang Perdana di sini, baru-baru ini.

Mohd. Zaid berkata, penggunaan UAV juga lebih murah serta memendekkan masa berbanding teknik konvensional menggunakan kapal terbang ataupun helikopter.

“Kebanyakkan syarikat juru ukur sekarang ini telah mula meng­gunakan teknologi ini kerana sebuah UAV boleh dida­pati dengan harga minimum RM40,000 dan dilengkapi dengan perisian komputer untuk tujuan pemetaan.

“Selain itu, ia dapat menjimatkan masa projek kepada tiga bulan berbanding lebih setahun menggunakan teknologi ini,” katanya.