Utusan Online mendapati, tebing curam setinggi kira-kira lima meter itu mengundang bahaya kepada pengguna jalan berkenaan kerana tanah yang runtuh berhampiran sebuah jambatan semakin melebar ke bahagian bawah jalan.

Kejadian itu dikatakan berlarutan sejak akhir tahun lalu, dipercayai akibat kejadian hujan lebat pada Disember yang menyebabkan tebing jalan semakin terhakis dan runtuh secara berperingkat.

Tidak mustahil jalan raya itu mungkin terputus jika tebingnya terus runtuh tanpa tindakan susulan segera pihak berkuasa.

Seorang penduduk Orang Asli Pos Blau, Atan Kassim, 44, berkata, keadaan lebih membimbangkan setiap kali hujan lebat menyebabkan tebing di laluan itu semakin terhakis.

“Jalan ini menjadi laluan penting pengguna jalan raya untuk ke Tanah Tinggi Lojing dan Cameron Highlands.

“Kita berharap, pihak berwajib dapat mengambil tindakan segera membaiki dan menyelenggara jalan itu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang pengguna jalan raya, Shamila Abu Bakar, 35, pula berkata, terdapat banyak tempat sepanjang jalan itu yang berlaku runtuhan tanah, selain jalan berlubang dan dibiarkan tanpa penyelenggaraan.

“Kita berharap masalah yang berlaku itu tidak dibiarkan terlalu lama kerana boleh mengundang bahaya kepada pengguna termasuk kenderaan berat.

“Jalan ini juga menjadi laluan alternatif penting untuk pengguna balik bercuti ketika perayaan atau cuti sekolah,” katanya. - UTUSAN ONLINE