Pengusaha tapai pulut tradisional, Azizah Seman, 60, me­ngakui hidangan tradisional itu mempunyai keunikan tersendiri walaupun hanya menggunakan bahan asas seperti beras pulut dan ragi.

Setiap tahun permintaan terhadap hidangan manis itu sentiasa meningkat dan Azizah perlu menyiapkan tempahan sebanyak 10,000 biji tapai pulut menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Azizah yang telah membuat tapai pulut sejak berumur 20 tahun berkata, bagi mengekalkan ke­aslian rasa dia menggunakan daun getah serta kaedah tradi­sional yang dipelajarinya.

Katanya, keaslian rasa tapai yang manis dan sedikit masam menjadi pembuka selera sebelum atau selepas menjamah hidangan lain.

“Saya membuat tapai menggunakan beras pulut sebanyak lima hingga ke sepuluh kilogram setiap hari.

“Hidangan tapai ini menjadi kewajipan dan sambutan hari raya seolah-olah tidak lengkap tanpa menikmati keenakan juadah tradisional itu sebelum berkunjung ke rumah sanak saudara dan jiran tetangga,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Damar di sini, hari ini.

Tambah Azizah, dia cuma menyiapkan tapai berseorangan tanpa bantuan sesiapa namun tidak pernah jemu untuk membuatnya.

Katanya, hidangan tradisional yang popular dalam kalangan masyarakat Pantai Timur di ne­geri Kelantan dan Terengganu ini harus dipertahankan walaupun terdapat pelbagai juadah moden.

“Sejak remaja lagi, saya akan membantu arwah nenek dan ibu menyediakan kelengkapan untuk membuat tapai sempena me­nyambut Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.

“Saya masih mengekalkan kaedah tradisional menggunakan daun getah dan warna asli walaupun ketika ini sudah ramai orang menggunakan bekas plastik dan bahan pewarna berwarna-warni untuk membuat tapai,” katanya yang menjual tapai dengan harga RM30 bagi setiap 100 biji.