JOHARI ABDULLAH
JOHARI ABDULLAH

Pengarah Media dan Komunikasi Persatuan Orang Kota Bharu (POKB), Johari Abdullah berkata, bukan sahaja merompak tindakan itu dilihat boleh ‘melukakan’ hati golongan yang sememangnya telah terjamin hak mereka sebagaimana telah termaktub dalam Akta Orang Kurang Upaya 2008.

“Mengikut akta, OKU adalah mereka yang mempunyai kekurangan jangka panjang fizikal, mental, intelektual atau deria. Apabila berinteraksi ada pelbagai halangan yang boleh menyekat penyertaan penuh dan berkesan dalam masyarakat.

“Tidak kira kategori apa pun seseorang OKU itu, mereka perlu mempertahankan hak mereka terutama apabila berada di tempat awam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Johari memberitahu, pihaknya mempersoalkan apakah ‘kecatatan’ yang menyebabkan golongan LGBT perlu diberikan hak untuk menggunakan tandas OKU.

Katanya, Kerajaan PH patut malu kerana merompak hak OKU di negara ini sedangkan golongan berkenaan perlu dibela.

“Golongan OKU bukannya meminta untuk diberikan wang ringgit ataupun bantuan material, tetapi cukup sekadar menghormati hak yang dikhususkan kepada mereka.

“Maka, POKB membantah sekeras-kerasnya saranan untuk membenarkan golongan LGBT menggunakan tandas OKU,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE