Ini melibatkan lebih 30 pesawah yang dijangka mengalami kerugian sekiranya padi tidak dapat ditanam selewat-lewatnya pertengahan Ogos ini kerana berhadapan dengan musim banjir.

Salah seorang pesawah, Abas Sheikh Brahim, 53, berkata, dia tidak dapat mengalirkan air ke kawasan sawahnya seluas 28 hektar di Dewan Beta di sini yang sepatutnya menerima bekalan air bermula 1 Jun mengikut jadual penggiliran KADA.

“Saya membelanjakan ribuan ringgit untuk upah membajak serta membeli racun dan benih padi namun sekarang semuanya tergendala kerana air tidak masuk mengikut jadual.

“Jika saya tidak dapat menanam pada musim ini, benih padi yang saya beli tidak dapat saya gunakan untuk musim lain dan perlu membeli yang baharu,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat KADA di Lundang di sini hari ini.

Abas bersama 30 pesawah lain hadir untuk membangkitkan masalah mereka kepada pihak pengurusan KADA.

Yang turut hadir pada pertemuan itu adalah Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) KADA, Nik Roslan Nik Idris dan Pengarah Bahagian Kejuruteraan Awam KADA, Baharuddin Ali.

Sementara itu, Nik Roslan berkata, pihaknya sedang mengatasi masalah yang dialami pesawah tersebut dengan memastikan proses penggiliran air berjalan dengan lebih baik.

“Kita menyalurkan air ke enam kawasan iaitu Kota Bharu Utara, Kota Bharu Selatan, Pasir Puteh, Bachok, Pasir Mas dan Tumpat.

“Catuan bekalan air terpaksa dibuat kerana paras air di Rumah Pam Kemubu yang terjejas selepas bekalan elektrik terputus akibat menara talian elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Chetok, Pasir Mas yang tumbang disebabkan hakisan sungai hujung tahun lalu.

“Pihak TNB memberitahu pembinaan menara baharu dijangka akan selesai pada pertengahan bulan Ogos ini,” katanya.

Untuk rekod, menara talian voltan tinggi 33 kilovolt (kV) TNB tumbang di tebing Sungai Kelantan akibat hakisan sungai pada Disember tahun lalu dan pihak TNB kini dalam fasa akhir pembinaan dua buah menara baharu. - UTUSAN ONLINE