dalam kebimbangan ekoran terdedah dengan risiko tanah runtuh yang boleh mengancam nyawa selain mengakibatkan jalan perhubungan utama mereka terputus.

Tinjauan di kawasan jalan Pos Tuel itu hari ini mendapati setakat ini terdapat lebih lima runtuhan tanah yang agak serius berlaku di lereng dan cerun bukit sehingga menutup separuh daripada laluan jalan menuju ke perkampungan mereka.

Bagaimanapun, tiada penyelenggaraan dibuat bagi membersihkan sisa runtuhan selain tiada usaha oleh mana-mana pihak bagi menghalang runtuhan baharu yang mungkin berlaku.

Penghulu Kampung Pos Tuel, Halim Sharif berkata, runtuhan tanah di beberapa lokasi berlaku sejak awal tahun ini dan setiap kali hujan lebat, runtuhan semakin kerap berlaku sehingga mengancam keselamatan pengguna yang melalui jalan itu.

“Jalan berturap sepanjang hampir 20 kilometer dari Pos Hendrop ke Pos Tuel ini membabitkan kos lebih RM20 juta dan projek ini siap tahun lalu. Selepas projek jalan ini siap, penduduk menggunakannya setiap hari.

“Saya bimbang tanah runtuh yang sering berlaku bukan sahaja menyebabkan jalan perhubungan utama kami ini terputus, malah mengancam nyawa pengguna jalan,” katanya ketika ditemui Utusan Online di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk, Rita Mokhtar, 43, berkata, masalah tanah runtuh yang berlaku di sepanjang jalan Pos Hendrop-Pos Tuel di sini semakin serius dan memerlukan perhatian segera pihak berkuasa.

Katanya, kerosakan jalan semakin teruk dalam tempoh tiga bulan kebelakangan ini, lebih-lebih lagi tidak ada kerja-kerja penyelenggaraan dilakukan oleh mana-mana pihak.

“Jalan berturap ini penting kepada penduduk Pos Tuel untuk keluar ke bandar Gua Musang bagi menjual hasil pertanian kami.

“Jalan ini dapat memendekkan tempoh perjalanan ke Pos Hendrop yang hanya memakan masa 20 minit berbanding satu jam jika melalui jalan balak,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Asu Jenang, 38, pula berharap pihak berkuasa segera membaiki kerosakan jalan rosak itu termasuk membina benteng di lereng bukit itu bagi mengurangkan risiko tanah runtuh sekali gus mengelak insiden tidak diingini.

“Penduduk di sini guna jalan ini untuk menghantar anak kami yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Hendrop dan sekolah menengah di sekitar bandar Gua Musang setiap hari.

“Kita bimbang jika sering berlaku runtuhan, laluan akan tertutup terus,” katanya. - UTUSAN ONLINE